
KUALA LUMPUR – “Saya amat gembira kerana telah ‘mengganggu’ dan ‘mendesak’ anda serta kakitangan anda bagi menjayakan pertemuan ini,” kata Presiden Perancis Emmanuel Macron dalam ucapan pembukaan sebelum mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.
Macron memulakan pertemuan dengan nada bersahaja sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa menerima delegasi Perancis meskipun mempunyai jadual yang padat.
Macron ketawa kecil sambil berseloroh mengenai kesungguhannya dalam mengatur pertemuan itu.
Presiden Perancis itu turut berterima kasih kepada Anwar kerana menyusun semula jadualnya bagi memberi laluan kepada pertemuan berkenaan, sambil menyifatkan langkah itu amat bermakna buat beliau serta delegasi.
“Terima kasih kerana menerima kunjungan kami, dan terima kasih kerana mengatur, atau lebih tepat menyusun semula agenda anda bagi membolehkan pertemuan ini diadakan,” kata beliau.
Anwar yang sedang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila, Filipina, kembali seketika ke tanah air bagi menerima kunjungan Macron.
Perdana Menteri dijadual berlepas semula ke Manila petang ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.
Beliau seterusnya dijadual berkunjung ke Shenzhen, China untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-33.
Dalam pada itu, Macron turut merakamkan penghargaan atas komunikasi berterusan Anwar menerusi kiriman mesej dan ucapan.
Beliau berkata Perancis bersedia memperkukuh kerjasama dengan Malaysia merentasi pelbagai isu dua hala serta kekal sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai.
Macron kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Isnin atas jemputan Anwar, sekali gus menandakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Mei 2017.
Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Isnin, lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis ke tahap Perkongsian Strategik. – Bernama
The post Macron hargai Anwar susun semula jadual beri laluan pertemuan appeared first on Kosmo Online.






