Macron jumpa Anwar perkukuh hubungan Malaysia, Perancis

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 10:25 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Macron jumpa Anwar perkukuh hubungan Malaysia, Perancis

PETALING JAYA – Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua hari bermula hari ini.

Kementerian Luar Negeri berkata, ini merupakan lawatan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan tersebut pada bulan Mei 2017.

“Macron akan diiringi oleh isteri beliau Brigitte Macron serta Menteri-Menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan.

“Beliau dan isteri akan tiba di Kuala Lumpur pada hari ini dan akan disambut oleh Perdana Menteri serta isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Wisma Putra berkata, Pada 17 November pula, Macron akan diberikan Istiadat Sambutan Rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur diikuti dengan mesyuarat dua hala Malaysia-Perancis yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua pemimpin.

“Mesyuarat dua hala tersebut akan menumpukan kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis ke tahap perkongsian strategik yang mencerminkan keutuhan serta kepentingan strategik hubungan yang telah lama terjalin.

“Perkongsian strategik ini akan menjadi kerangka bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan.

“Ia turut melibatkan bidang mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan dan pendidikan, dengan matlamat untuk memupuk kerjasama
yang saling menguntungkan dan melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk cabaran global yang mendesak serta meneroka peluang memperkukuh kerjasama dan sokongan bersama dalam kalangan negara yang sehaluan.

“Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi bidang-bidang kerjasama strategik, termasuk pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.

“Perdana Menteri juga akan menganjurkan Majlis Makan Tengah Hari Rasmi bagi meraikan Macron, isteri dan delegasi,” jelasnya.

Pada tahun 2025, jumlah dagangan antara Malaysia dan Perancis mencatatkan nilai RM17.78 bilion.

Jumlah eksport Malaysia ke Perancis bernilai RM6.05 bilion dengan produk elektrik dan elektronik menjadi eksport utama.

Import dari Perancis pula berjumlah RM11.73 bilion yang mana sebahagian besarnya terdiri daripada peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.

Perancis merupakan rakan dagang Malaysia ke-21 terbesar di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara-negara Eropah. – KOSMO! ONLINE

The post Macron jumpa Anwar perkukuh hubungan Malaysia, Perancis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved