Anwar gesa komitmen politik baharu untuk muktamadkan COC Laut China Selatan

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 4:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anwar gesa komitmen politik baharu untuk muktamadkan COC Laut China Selatan
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dihoskan Filipina bertemakan "Navigating Our Future, Together”. Foto Bernama

MANILA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak menunjukkan komitmen politik baharu bagi memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif di Laut China Selatan, sambil menyatakan bahawa rundingan kini berada pada tahap kritikal.

Beliau berkata, Malaysia, selaku pengerusi bersama rundingan itu dengan China, kekal komited untuk mengekalkan momentum ke arah memuktamadkan perjanjian berkenaan.

"Komitmen politik baharu daripada semua delegasi amat penting bagi mencapai matlamat bersama kita untuk mewujudkan COC yang berkesan dan substantif,” katanya dalam kenyataan negara pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-29 di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN bagi pihak blok itu, Anwar berkata ASEAN mengalu-alukan momentum dan kemajuan ketara yang dicapai dalam rundingan berkenaan.

"Kami berharap usaha yang berterusan dan intensif dapat dilaksanakan bagi memuktamadkan COC yang berkesan dan substantif dalam fasa akhir rundingan ini.

"Kami menegaskan semula kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan,” katanya.

Malaysia merupakan negara penyelaras ASEAN bagi hubungan dialog dengan China.

Mengenai kerjasama ekonomi, Anwar berkata, Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 mula berkuat kuasa pada sidang kemuncak itu, sekali gus menandakan langkah penting ke arah memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, ASEAN berharap dapat menjalin kerjasama lebih erat dengan China dalam bidang ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), termasuk usaha pembangunan kapasiti bagi menjadikan ekosistem digital lebih selamat dan berdaya tahan.

"ASEAN menegaskan semula komitmen bersama untuk terus bekerjasama rapat dengan China bagi memperdalam dan memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) ASEAN-China pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Anwar berkata, hubungan ASEAN-China kekal kukuh ketika kedua-dua pihak memperingati ulang tahun ke-35 hubungan dialog dan ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif mereka.

Beliau berkata, ASEAN mengalu-alukan sokongan berterusan China terhadap kepusatan ASEAN dan mekanisme yang diterajui ASEAN, serta kesediaan negara itu untuk menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara tanpa sebarang syarat.

"Kami menghargai sokongan padu China dalam menangani cabaran keselamatan bukan tradisional, termasuk peningkatan ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian,” katanya.

Anwar turut menggesa kerjasama lebih erat dengan China dalam transformasi digital dan pengukuhan langkah perlindungan berkaitan AI.

Beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan China bagi memaksimumkan manfaat ACFTA yang dinaik taraf, khususnya peruntukan berkaitan perniagaan kecil, piawaian, persaingan dan perlindungan pengguna.

Mengenai Asia Barat, Anwar mengulangi kecaman Malaysia terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, termasuk tindakan yang disifatkannya sebagai genosid di Semenanjung Gaza.

"Kami terus menggesa penyelesaian yang adil dan aman serta penghentian kekejaman yang dilakukan. Sehubungan itu, kami menghargai sumbangan China sebanyak US$100 juta bagi usaha bantuan dan pembinaan semula Semenanjung Gaza,” katanya.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dihoskan Filipina bertemakan "Navigating Our Future, Together”.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved