liza09/09/2026 - 18:33 Madinah Mohamad Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept – Tan Sri Dr Madinah Mohamad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) berkuat kuasa 9 September 2026 selepas lebih tiga tahun menerajui lembaga pengarah kumpulan pembinaan dan kejuruteraan itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AZRB berkata Madinah yang berusia 70 tahun meletakkan jawatan atas kepentingan peribadi.
Beliau mula menyertai lembaga pengarah AZRB pada 16 Ogos 2021 sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif sebelum mengambil alih jawatan pengerusi pada 1 Mei 2023.
Madinah telah berkhidmat dalam lembaga pengarah AZRB selama lebih lima tahun, termasuk lebih tiga tahun sebagai pengerusi kumpulan tersebut.
Peletakan jawatan itu turut menandakan berakhirnya penglibatan seorang tokoh berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam di peringkat tertinggi dalam struktur kepimpinan AZRB.
ARTIKEL BERKAITAN: 18 petisyen gulung tikar sejak 2025, AZRB terkena ‘badi’ EKVE?
Sementara itu, dalam makluman berasingan, AZRB berkata Datuk Sri Wan Zakariah Wan Muda dilantik sebagai Pengerusi syarikat berkuat kuasa 9 September 2026.
Perubahan itu merupakan penamaan semula jawatan daripada Timbalan Pengerusi Eksekutif kepada Pengerusi, dengan beliau kekal sebagai Pengarah Eksekutif AZRB.
Wan Zakariah merupakan pengarah dan pemegang saham AZRB, manakala adiknya Datuk Wan Zulkifli Wan Muda adalah Pengarah Eksekutif dan pemegang saham syarikat.
AZRB berkata Wan Zakariah tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan dengan syarikat. Beliau memegang 5.32 juta saham secara langsung dalam AZRB, mewakili 0.8% kepentingan, serta 27,000 saham secara tidak langsung yang mewakili kepentingan ekuiti tidak ketara.- DagangNews.com





