Bursa Malaysia tegur Techna-X ekoran kelewatan laporan tahunan dan perbezaan kerugian RM5.7 juta

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 6:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia tegur Techna-X ekoran kelewatan laporan tahunan dan perbezaan kerugian RM5.7 juta Image from: Bursa Malaysia tegur Techna-X ekoran kelewatan laporan tahunan dan perbezaan kerugian RM5.7 juta liza09/09/2026 - 18:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept – Bursa Malaysia Securities Berhad menegur secara terbuka Techna-X Berhad kerana melanggar keperluan penyenaraian berkaitan penerbitan laporan tahunan dan ketepatan laporan kewangan syarikat.

 

Bursa Malaysia berkata Techna-X gagal menerbitkan laporan tahunan yang mengandungi penyata kewangan beraudit bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember 2025 pada tarikh ditetapkan.

 

Menurut Bursa Malaysia, laporan berkenaan sepatutnya diterbitkan pada atau sebelum 30 April 2026, namun Techna-X hanya mengumumkannya pada 8 Mei 2026, iaitu lewat lima hari dagangan.

 

“Kelewatan itu berlaku terutamanya kerana Techna-X gagal mengekalkan serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar bagi membolehkan proses audit diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

 

“Selain kelewatan laporan tahunan, Bursa Malaysia turut mendapati Techna-X gagal memastikan laporan suku tahunan keenam bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2025 yang diumumkan pada 27 Februari 2026 mengambil kira pelarasan yang kemudiannya dinyatakan dalam pengumuman syarikat pada 14 Mei 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerugian diaudit RM29.259 juta

Dalam laporan suku tahunan berkenaan, Techna-X melaporkan kerugian selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM23.582 juta.

 

Bagaimanapun, selepas proses audit selesai, penyata kewangan beraudit menunjukkan kerugian sebanyak RM29.259 juta, iaitu RM5.677 juta atau 24.1% lebih tinggi berbanding angka yang dilaporkan sebelum ini.

 

Techna-X pada 14 Mei 2026 menjelaskan perbezaan itu berpunca daripada pelarasan audit tambahan yang dibuat ketika memuktamadkan penyata kewangan beraudit.

 

Antara pelarasan tersebut termasuk kerugian kemerosotan nilai penghutang lain, jumlah terhutang daripada syarikat bersekutu dan aset tidak ketara, selain pelarasan perakaunan susulan pelepasan hutang yang terhutang kepada pengarah anak syarikat.

 

Namun, Bursa Malaysia berkata keadaan yang menyebabkan pelarasan tersebut sebenarnya telah wujud ketika laporan suku tahunan keenam disediakan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bursa persoal bagaimana Techna-X boleh jual semula kepentingan RM45 juta dalam syarikat bateri Hong Kong

 

Bursa arah langkah pematuhan tambahan

Oleh itu, Techna-X tidak boleh menggunakan proses pemuktamadan audit atau cadangan juruaudit luar sebagai alasan untuk tidak mengambil kira pelarasan berkenaan dalam laporan suku tahunan tersebut.

 

Susulan pelanggaran itu, Bursa Malaysia mengarahkan Techna-X menjalankan semakan terhad terhadap laporan suku tahunan syarikat oleh juruaudit luar bagi empat suku tahun, bermula selewat-lewatnya dengan laporan bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2026.

 

Techna-X juga dikehendaki memastikan pengarah dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan berhubung pematuhan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, khususnya berkaitan penyata kewangan.

 

Selain itu, Lembaga Pengarah Techna-X perlu menyemak dan menilai kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan syarikat, termasuk dasar dan prosedur berkaitan pelaporan kewangan.

 

Bursa Malaysia berkata keputusan untuk mengenakan tindakan itu dibuat selepas mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan, termasuk tahap materialiti pelanggaran serta kesannya kepada syarikat, pemegang saham dan pelabur.

 

Pengarah turut diingatkan tanggungjawab

Bagaimanapun, Bursa Malaysia berkata pihaknya tidak mendapati mana-mana pengarah Techna-X menyebabkan atau membenarkan berlakunya pelanggaran tersebut.

 

Pada masa sama, Bursa Malaysia mengingatkan Lembaga Pengarah bahawa mereka tetap bertanggungjawab memastikan syarikat mengekalkan tahap tanggungjawab dan kebertanggungjawaban yang sewajarnya dalam mematuhi keperluan penyenaraian.

 

Bursa Malaysia turut menegaskan bahawa pelanggaran berkenaan dipandang serius dan mengingatkan Techna-X serta Lembaga Pengarah supaya memastikan perkara sama tidak berulang.

 

Menurut Bursa Malaysia, walaupun kelewatan penerbitan laporan tahunan hanya lima hari dagangan, pelabur telah dinafikan maklumat kewangan beraudit Techna-X bagi tempoh lebih 18 bulan untuk laporan tahunan 2025. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved