
Hulu Kelang: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengarahkan 12 episod drama Madu Atau Racun agar disunting semula sebelum dikemukakan kembali kepada panel penilai untuk penilaian lanjut sebelum dibenarkan untuk ditayangkan kepada umum.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya dalam masa sama meminta agar enam episod yang sudah disiarkan diturunkan buat sementara waktu sehingga proses suntingan selesai dan mendapat keputusan rasmi.
“Kita memohon iQIYI menurunkan dahulu keenam-enam episod tersebut sehingga kesemua 12 episod telah dibuat suntingan baru dan mendapat kelulusan.
“Jikalau iQIYI dapat lakukan suntingan tu secepat mungkin, mungkin kita boleh benarkan mereka menayangkan balik,” katanya ketika ditemui di Sesi Pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bersama pemain industri di pejabat FINAS, Hulu Kelang, di sini, hari ini.
Turut hadir wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).
Drama Madu Atau Racun yang disiarkan di platform OTT berbayar, iQIYI heboh diperkatakan susulan penayangan beberapa babak berunsurkan sonsang.
Babak berkenaan turut mengundang perhatian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan yang kecewa dengan penayangan babak berkenaan.
Ketika mengulas mengenai isu sudut pandangan platform penstriman itu yang mungkin menganggap perkara terbabit sebagai perkara biasa memandangkan iQIYI berasal dari China, Azmir berkata ia tetap perlu dihalusi mengikut kesesuaian tempatan.
Dalam sesi pertemuan berkenaan, iQIYI dan MIG turut memohon maaf, serta bersedia mengikuti nasihat panel bagi mencari titik pertemuan dalam menyelesaikan isu terbabit.
“Saya berterima kasih kepada pihak mereka kerana bekerjasama dalam isu ini. Ia melibatkan sensitiviti masyarakat umum dan kita tahu bahawa setiap daripada kita orang industri dan yang terlibat ni ada tanggungjawab,” katanya lagi.
The post Madu Atau Racun: Finas arah 12 episod disunting semula appeared first on Utusan Malaysia.





