
HULU KELANG – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meminta saluran penstriman iQIYI menghentikan sementara tayangan drama kontroversi, Madu Atau Racun bagi melalui proses suntingan semula sebelum disiarkan kembali kepada umum.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Daud berkata, enam episod terawal yang sudah disiarkan juga perlu ‘diturunkan’ dahulu untuk suntingan sehingga panel penilai memberikan kelulusan penuh.
“Keputusan sebulat suara adalah kesemua 12 episod drama perlu disunting dan diberi balik kepada panel untuk penilaian sebelum boleh disiarkan kembali.
“Bagi enam episod yang telah disiarkan, kita minta kepada pihak iQIYI untuk turun dan hentikan dahulu sehingga suntingan tersebut dibuat dan mendapat keputusan penuh panel.
“Jika sudah dapat kelulusan, tiada isu untuk disambung kembali siarannya,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil IQIYI, MIG Production selaku penerbit di pejabat Finas, di sini, hari ini.
Antara wakil agensi lain yang terlibat dalam sesi tergempar ini termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).
Azmir berkata, pihak iQIYI dan penerbit juga sudah memberikan persetujuan dalam pertemuan berkenaan untuk mematuhi keputusan bersama selain mengeluarkan kenyataan permohonan maaf berhubung kontroversi tersebut.
“Saya berterima kasih kepada mereka kerana bekerjasama dalam isu ini. Hal ini melibatkan sensitiviti masyarakat umum. Setiap daripada kita dalam industri mempunyai tanggungjawab,” katanya.
Katanya, pertemuan berkenaan turut menyaksikan perbincangan mengenai kandungan yang didakwa mempunyai unsur LGBTQ, meskipun pihak penerbit sebelum ini menafikan perkara tersebut.
“Ada yang mengatakan penerbit dan pihak mereka tidak mempunyai unsur LGBTQ, tetapi secara jelasnya memang kita nampak ada unsur itu.
“Jadi, selepas ini garis panduan yang sama perlu ditetapkan kepada semua platform penstriman supaya mereka lebih jelas,” ujarnya.
Jelasnya, panel penilaian terdiri daripada Jakim, CMCF dan Finas, selain turut menjemput Persatuan Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Filem Malaysia (PFM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Panel inilah yang akan buat satu keputusan. Mereka mempunyai pengalaman dan mengetahui garis panduan yang dikeluarkan Lembaga Penapis Filem (LPF), termasuk perkara yang perlu diberi perhatian terutama membabitkan isu sensitif,” katanya.
Mengulas mengenai kuasa Finas dalam mengawal kandungan OTT, Azmir menjelaskan bahawa bidang kuasa kandungan sebenarnya terbahagi kepada dua entiti utama iaitu LPF dan CMCF.
“LPF mempunyai bidang kuasa tertakluk kepada pawagam dan beberapa stesen televisyen, termasuk RTM. Manakala kandungan dalam talian dan OTT seperti iQIYI berada di bawah pemantauan serta garis panduan CMCF,” jelasnya.
Pada masa sama, Azmir berharap kontroversi Madu Atau Racun menjadi pengajaran kepada semua penerbit agar lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya untuk tontonan umum.
Terdahulu, kontroversi Madu Atau Racun tercetus selepas beberapa klip daripada drama berkenaan tular di media sosial, sekali gus mengundang reaksi kurang senang khalayak yang menyifatkan terdapat kandungan menyentuh sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.
Drama arahan Eyra Rahman itu menampilkan Aliff Aziz, Elisya Sandha serta Uqasha Senrose itu mengangkat kisah rumah tangga, konflik poligami serta hubungan antara suami dan isteri.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian menteri berkaitan yang menolak tayangan drama terbabit atas sebab boleh menggugat keharmonian masyarakat. – KOSMO! ONLINE
The post 12 episod Madu Atau Racun disunting semula, dinilai panel – Finas appeared first on Kosmo Digital.





