Maffi Sabah beri jaminan bekalan beras cukup: Jamawi

16 Mar 2026 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) Sabah memberikan jaminan bekalan beras di negeri itu mencukupi dan berada pada tahap selamat.

Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata setakat ini stok simpanan beras di Sabah mampu menampung keperluan rakyat negeri itu hingga sembilan bulan.

“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jamawi berkata demikian sebagai maklum balas mengenai isu kekurangan bekalan beras yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Sabah sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata kementeriannya telah berhubung dengan Bernas Sabah, yang bertanggungjawab mengurus serta mengedarkan bekalan beras di negeri itu, bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi berkenaan.

Menurut agensi itu bekalan beras di Sabah mencukupi dan kekurangan bekalan dilaporkan berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara.

“Bekalan beras untuk daerah-daerah tertentu yang mengalami kekurangan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pembekal yang telah dilantik oleh Bernas,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di Sabah.