
PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoal sama ada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan kegiatan mafia korporat ketika beliau menjawat jawatan tersebut atau sebaliknya.
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, sekiranya Rafizi mengetahui perkara itu ketika masih berada dalam kerajaan, timbul persoalan mengapa isu berkenaan tidak dibangkitkan secara terbuka ketika itu.
Katanya, ketika itu, beliau bukan orang luar dan merupakan sebahagian daripada kerajaan yang mempunyai akses untuk membawa perkara berkenaan kepada perhatian pihak berkuasa.
“Jadi, persoalan yang perlu dijawab ialah bila beliau mula mengetahui perkara ini, apakah tindakan yang telah diambil dan adakah beliau pernah membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau agensi penguatkuasaan,” katanya hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Rafizi berhubung isu jenayah korporat dengan mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibangkitkan ketika beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan.
Anwar dilaporkan berkata, tindakan membetulkan sebarang salah laku perlu dilakukan ketika seseorang masih mempunyai kuasa, bukannya hanya bersuara selepas tidak lagi memegang jawatan.
Kata Dzul Hilmi, Rafizi mempunyai podcast dan pelbagai saluran untuk menjelaskan perkara ini bagi memberitahu rakyat berkaitan fakta dan bukannya membina naratif politik.
“Kalau beliau benar-benar mahu mempertahankan integriti dan melawan salah laku korporat, saya fikir penjelasan yang paling penting sekarang ialah apa yang beliau tahu ketika menjadi menteri dan apa yang telah beliau lakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Mafia korporat: Rafizi perlu perjelas peranan semasa jadi menteri appeared first on Kosmo Online.






