
PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long perlu tampil segera bagi membantu pihak berkuasa menyelesaikan isu mafia korporat agar keadilan dapat ditegakkan untuk semua pihak.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil serius kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berhubung komitmen kerajaan mendedahkan laporan siasatan berkaitan dakwaan kewujudan kumpulan yang digelar sebagai mafia korporat dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, MCW berpandangan bahawa komitmen tersebut perlu diterjemahkan melalui siasatan yang menyeluruh, bebas, telus dan tanpa campur tangan mana-mana pihak berkepentingan.
“MCW menggesa Victor Chin serta mana-mana individu lain yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut supaya tampil memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, sekiranya dipanggil atau mempunyai maklumat yang relevan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri berjanji mendedahkan laporan siasatan dakwaan mafia korporat dalam tempoh tiga bulan, sambil menegaskan tiada sesiapa akan dilindungi.
Anwar turut meminta Peguam Negara, Datuk Dusuki Mokhtar mengetuai pasukan petugas yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Mengulas lanjut, Jais berkata, sebelum ini, MCW telah membuat laporan polis bagi memohon siasatan terhadap dakwaan yang melibatkan Victor Chin dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanipah Noordin, khususnya berhubung persoalan pengurusan dana korporat dan kemungkinan berlakunya penyelewengan kewangan.
Bagaimanapun, katanya, MCW masih mengharapkan penjelasan rasmi mengenai perkembangan dan status siasatan susulan laporan berkenaan.
“Apabila Perdana Menteri sendiri menyebut nama beberapa individu, termasuk Tan Sri Azam Baki, Farhash dan Victor Chin dalam perbahasan Parlimen, perhatian masyarakat terhadap isu ini tentunya semakin meningkat.
“Namun, penyebutan nama seseorang tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan. MCW menegaskan bahawa siasatan tidak boleh bersifat terpilih, tidak boleh melindungi individu berpengaruh dan tidak boleh dijadikan instrumen untuk menghukum seseorang melalui persepsi awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Mafia korporat: Victor Chin perlu tampil bantu pihak berkuasa appeared first on Kosmo Online.






