Mafia korporat: Rafizi perlu perjelas peranan beliau semasa jadi menteri – AMK

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 9:34 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mafia korporat: Rafizi perlu perjelas peranan beliau semasa jadi menteri – AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mempersoalkan sejauh mana peranan dan pembabitan Datuk Seri Rafizi Ramli semasa menjadi Menteri Ekonomi mengenai kewujudan kegiatan mafia korporat sehingga beliau terpaksa mendiamkan diri dan tidak langsung bersuara mengenainya.

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, kalau benar Rafizi mengetahui tentang kewujudan mafia korporat ketika beliau menjadi Menteri Ekonomi, rakyat berhak bertanya kenapa perkara ini tidak dibangkitkan secara terbuka ketika beliau masih berada dalam kerajaan.

Katanya, beliau bukan orang luar ketika itu, malah beliau adalah sebahagian daripada kerajaan dan mempunyai kedudukan serta akses untuk membawa perkara ini kepada perhatian pihak berkuasa.

“Jadi, persoalan yang perlu dijawab ialah, bila beliau mula mengetahui perkara ini, apakah tindakan yang telah diambil dan adakah beliau pernah membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau agensi penguatkuasaan?

“Saya tidak mahu membuat tuduhan bahawa Rafizi terlibat atau bersubahat. Itu perkara serius dan mesti berasaskan bukti. Tetapi beliau juga tidak boleh mengelak daripada menjelaskan peranan dan pengetahuannya sendiri,” katanya hari ini.

Image from: Mafia korporat: Rafizi perlu perjelas peranan beliau semasa jadi menteri – AMK
DZUL HILMI ZAINOL

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu jenayah korporat dengan mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibangkitkan ketika beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan.

Anwar berkata, tindakan membetulkan sebarang salah laku perlu dilakukan ketika seseorang masih mempunyai kuasa, bukannya hanya bersuara selepas tidak lagi memegang jawatan.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, apabila perkara ini mula dibangkitkan selepas beliau tidak lagi memegang jawatan menteri dan selepas pemilihan parti, sudah tentu rakyat mahu tahu kenapa baru sekarang isu ini mendapat perhatian beliau.

Katanya, Rafizi mempunyai podcast dan pelbagai saluran untuk menjelaskan perkara ini. Gunakanlah ruang tersebut untuk memberikan fakta, bukan sekadar membina naratif politik.

“Kalau beliau benar-benar mahu mempertahankan integriti dan melawan salah laku korporat, saya fikir penjelasan yang paling penting sekarang ialah apa yang beliau tahu ketika menjadi menteri, apa yang telah beliau lakukan dan mengapa perkara ini tidak dibangkitkan lebih awal.

“Akhirnya, kita mahu kebenaran. Kalau ada salah laku, siasat dan ambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti terlibat. Jangan lindungi sesiapa, tetapi jangan juga membuat tuduhan tanpa bukti,” katanya.

Dzul Hilmi berkata, jika benar dan terbukti apa dakwaan yang ditimbulkan oleh Rafizi, maka beliau juga antara individu yang perlu bertanggungjawab kerana beliau juga sebahagian daripada kerajaan sebelum ini.

Jelasnya, Rafizi sudah maklum tentang perkara ini seperti mana yang dinyatakan, namun diam membisu demi mengekalkan jawatan dan kedudukan pada ketika itu. – UTUSAN

The post Mafia korporat: Rafizi perlu perjelas peranan beliau semasa jadi menteri – AMK appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved