
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membekukan aset bernilai RM4.3 bilion dan menyita RM1 bilion menerusi tindakan penguatkuasaan berkaitan jenayah pengubahan wang haram berdasarkan statistik tahun 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu merupakan sebahagian usaha dalan membanteras jenayah korporat, termasuk kegiatan ‘mafia korporat’ yang didakwa membabitkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Menurut beliau, statistik kejayaan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM bagi tahun ini turut merekodkan pelucuthakan aset bernilai RM48 juta dan kompaun berjumlah RM1.1 bilion.
“Jumlah ini tidak termasuk lebih daripada RM3 bilion yang masih dalam proses perbicaraan mahkamah untuk dilucuthak kepada kerajaan,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai perkembangan terkini dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’ yang melibatkan pelanggaran undang-undang serta tindakan yang telah diambil kerajaan.
Anwar berkata, kegiatan jenayah korporat berkenaan merangkumi pembelian dan penguasaan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian, manipulasi pasaran saham, pelanggaran pendedahan korporat dan undang-undang kawal selia serta aktiviti pinjaman wang haram (along) dan ugutan terhadap peminjam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 individu atau entiti bagi tempoh 2022 hingga September 2026, berbanding 76 pertuduhan terhadap 33 individu atau entiti bagi tempoh 2017 hingga 2021.
Tindakan sivil turut meningkat daripada 23 kes bagi tempoh 2017 hingga 2021 kepada 37 tindakan bagi tempoh 2022 hingga September 2026.
Mengulas kes Serba Dinamik Berhad, Anwar berkata, nilai pasaran syarikat itu pernah mencecah RM6 bilion pada awal 2020 sebelum merosot lebih 99 peratus kepada kira-kira RM50 juta pada penghujung Disember 2022.
Beliau berkata, SC meneruskan siasatan terhadap urus niaga lain yang melibatkan bekas tokoh syarikat berkenaan, sekali gus membawa kepada pertuduhan pada awal 2026 berhubung urus niaga dan penyata palsu melibatkan Sarawak Consolidated Industries Berhad.
Menurutnya, waran tangkap turut diperoleh terhadap individu terbabit, manakala Interpol mengeluarkan Notis Merah bagi membantu mengesan dan menahannya.
Sementara itu, Anwar berkata, PDRM telah menjalankan Op Viking susulan maklumat dan risikan sejak 2018 berkaitan aktiviti pengubahan wang haram serta dakwaan penyalahgunaan kuasa untuk menekan ahli perniagaan supaya menjual saham syarikat pada harga rendah.
Setakat 25 September 2026, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan.
Tindakan pembekuan dan penyitaan turut melibatkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Central Depository System (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah kira-kira RM85.62 juta.
Bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan, Anwar berkata, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara dan dianggotai PDRM, SC, Bank Negara Malaysia serta agensi berkaitan.
Jawatankuasa itu akan diberikan tempoh tiga bulan untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan penuh berhubung jenayah korporat.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap jenayah korporat, manakala hasil haram, rasuah dan penyelewengan yang dilucuthakkan melalui proses undang-undang akan dipulangkan kepada rakyat, khususnya bagi memperkukuh sektor pendidikan dan kesihatan awam. – KOSMO! ONLINE
The post Mafia korporat: RM4.3 bilion aset dibeku, RM1 bilion disita – PM appeared first on Kosmo Online.





