Mafia korporat: 239 pertuduhan terhadap 50 individu, RM4.3 bilion dibekukan - PM Anwar

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 11:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mafia korporat: 239 pertuduhan terhadap 50 individu, RM4.3 bilion dibekukan - PM Anwar Image from: Mafia korporat: 239 pertuduhan terhadap 50 individu, RM4.3 bilion dibekukan - PM Anwar liza20/10/2026 - 11:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 individu sejak 2023 manakala Polis Diraja Malaysia pula telah membekukan asset bernilai RM4.3 bilion susulan peningkatan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan yang dikaitkan dengan mafia korporat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah korporat dipertingkatkan sejak 2023 dengan SC turut meneruskan siasatan terhadap urus niaga yang melibatkan syarikat serta kes yang sebelum ini tidak ditangani secara menyeluruh.

 

Menurut beliau, kegiatan yang dibangkitkan merangkumi pengambilalihan dan penguasaan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, manipulasi pasaran saham, pelanggaran keperluan pendedahan maklumat korporat, aktiviti pinjaman wang haram serta ugutan.

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai perkembangan terkini dakwaan kegiatan mafia korporat dan tindakan yang diambil oleh agensi penguatkuasaan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

SC teruskan siasatan kes korporat

Anwar berkata, antara kes yang diberi perhatian ialah urus niaga berkaitan Serba Dinamik Holdings Berhad, susulan penarikan balik pertuduhan terhadap syarikat itu pada Mei 2022.

 

Beliau berkata, SC memulakan siasatan sejak 2023 terhadap urus niaga yang berkaitan, termasuk perkara yang turut melibatkan Sarawak Consolidated Industries Berhad.

 

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan SC merangkumi prosiding jenayah dan sivil bagi menangani pelanggaran undang-undang dalam sektor korporat.

 

Beliau menegaskan bahawa kes yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran undang-undang dalam kegiatan perniagaan tidak akan diketepikan, manakala sebarang dakwaan perlu disiasat berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh.

 

PDRM bekukan aset RM4.3 bilion

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram PDRM berjaya membekukan aset berjumlah RM4.3 bilion dari penghujung 2022 hingga September 2026.

 

Dalam tempoh sama, sebanyak RM1 bilion aset disita, RM48.3 juta dilucut hak dan kompaun berjumlah RM1.1 bilion dikenakan.

 

Beliau turut menyebut tindakan penyitaan dan pembekuan aset dalam siasatan yang dijalankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Operasi Viking yang dikaitkan dengan siasatan kegiatan jenayah kewangan.

 

Operasi berkenaan menyaksikan 70 individu disiasat, selain tindakan terhadap lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun termasuk akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai RM323 juta serta 404 akaun bank dengan nilai RM85.6 juta.

 

Anwar berkata, tindakan penguatkuasaan itu mencerminkan usaha berterusan agensi berkaitan untuk mengesan, membekukan dan menyita aset yang dikaitkan dengan kegiatan jenayah kewangan.

 

Pasukan petugas khas selaras tindakan agensi

Sementara itu, bagi memastikan tindakan terhadap kegiatan mafia korporat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, Anwar berkata beliau telah meminta Peguam Negara mengetuai satu pasukan petugas khas yang melibatkan agensi penguatkuasaan berkaitan.

 

Pasukan itu akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PDRM, Bank Negara Malaysia, SC dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selain agensi berkaitan penguatkuasaan undang-undang antipengubahan wang haram.

 

Beliau meminta pasukan berkenaan menyediakan laporan lengkap dalam tempoh tiga bulan dan menegaskan bahawa laporan itu akan didedahkan kepada umum.

 

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan memastikan tindakan yang diambil dapat dijelaskan secara telus serta menjawab persoalan masyarakat mengenai kemungkinan terdapat pihak tertentu yang dilindungi daripada siasatan.

 

 

 

 

 

 

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mencampuri urusan siasatan dan mana-mana pihak yang mempunyai bukti berkaitan dakwaan jenayah korporat perlu membolehkan maklumat itu disiasat melalui saluran sewajarnya.

 

Beliau berkata, undang-undang sedia ada yang berada di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan berkaitan pada masa ini dianggap mencukupi, dengan penekanan diberikan kepada ketegasan pelaksanaan undang-undang serta penyelarasan antara agensi. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved