KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Sebanyak RM37.53 bilion nilai aset dirampas hasil tindakan penguatkuasaan negara dalam usaha membanteras kegiatan mafia korporat termasuk RM28 bilion daripadanya digunakan bagi menyelesaikan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan berkenaan diteruskan menerusi siasatan serta pendakwaan jenayah dan sivil.
**media[3683573]**
“Keseluruhan jumlah yang dirampas dan dikembalikan hasil ikhtiar Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain agensi penguatkuasaan (setakat ini) mencecah RM37.53 bilion.
“Daripada jumlah RM37.53 bilion itu, RM28 bilion adalah untuk menyelesaikan hutang 1MDB,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Anwar berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai perkembangan terkini dakwaan kegiatan 'mafia korporat' yang melibatkan pelanggaran hukum dan tindakan yang diambil kerajaan selama ini.
Mengulas lanjut, statistik kejayaan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi 2026 pula merekodkan pembekuan aset bernilai RM4.3 bilion dan penyitaan RM1 bilion.
Katanya, statistik itu turut merangkumi pembekuan 2.1 juta unit saham, penyitaan 2.1 juta unit saham, pelucuthakan RM48 juta serta kompaun RM1.1 bilion.
“Jumlah ini tidak termasuk lebih daripada RM3 bilion yang masih dalam proses perbicaraan mahkamah untuk dilucut hak kepada kerajaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan, Op Viking turut dijalankan oleh Pasukan Siasatan Jenayah AMLA PDRM susulan maklumat dan risikan sejak 2018 berhubung aktiviti pengubahan wang haram.
Beliau berkata, sehingga 25 September lalu, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkenaan.
"Bagi kes di mana agensi penguatkuasa telah menyalahgunakan kuasa menyebabkan tekanan terhadap ahli perniagaan untuk menjual saham syarikat dengan harga rendah bagi mencapai matlamat untuk menguasai syarikat, Pasukan Siasatan Jenayah AMLA PDRM telah menjalankan Op Viking sejak 2018.
"PDRM seterusnya telah mengambil tindakan seperti penahanan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat," tambahnya.
Menurutnya, PDRM juga melakukan tindakan pembekuan dan penyitaan yang melibatkan lapan bidang hartanah, 11 buah kenderaan, 417 akaun Central Depository System (CDS), 70 akaun dagangan saham berjumlah kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah kira-kira RM85.62 juta.
Menyentuh mengenai tindakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula, beliau berkata, sebanyak 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 individu atau entiti dimulakan bagi tempoh 2022 hingga September 2026, berbanding 76 pertuduhan terhadap 33 individu atau entiti bagi tempoh 2017 hingga 2021.
Menurutnya, tindakan sivil SC turut meningkat daripada 23 kes bagi tempoh 2017 hingga 2021 kepada 37 tindakan bagi tempoh 2022 hingga September 2026.
Kata beliau, sejak 2022, SC memperluas skop penguatkuasaan meliputi kesalahan penipuan sekuriti, penyata palsu serta salah laku korporat oleh pengarah dan pegawai syarikat.
Anwar menegaskan, keseluruhan dana berbilion ringgit yang dirampas oleh agensi-agensi penguatkuasaan daripada hasil haram, rasuah dan penyelewengan menerusi keputusan badan kehakiman dipulangkan semula kepada rakyat.
Jelasnya, ia dikembalikan semula terutamanya untuk memantapkan sektor pendidikan dan kesihatan awam negara.





