MAG lancar bangunan simulator baharu MAB Academy, perkukuh kedudukan latihan penerbangan

LocalBusiness & Finance
6 Jan 2026 • 2:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAG lancar bangunan simulator baharu MAB Academy, perkukuh kedudukan latihan penerbangan image is not available haziq06/01/2026 - 14:30 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Jan – Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan bangunan simulator baharu MAB Academy di Zon Sokongan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menandakan satu pencapaian penting dalam strategi jangka panjang kumpulan itu untuk memperkukuh kepimpinan dalam latihan penerbangan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, kemudahan baharu itu mencerminkan komitmen kumpulan dalam menyediakan latihan yang ketat, relevan dan sejajar dengan operasi penerbangan sebenar.

 

“Pelancaran bangunan simulator baharu MAB Academy ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan transformasi jangka panjang syarikat dan menyokong Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0), yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan secara berdisiplin serta kepimpinan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar.

 

Menurut Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, pelaburan MAG dalam latihan dan simulasi canggih melalui MAB Academy amat penting bagi memastikan profesional penerbangan negara berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.

 

“Pelaburan ini mengukuhkan piawaian keselamatan, membina keupayaan operasi dan meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan yang diyakini serta berkeupayaan di rantau ini,” katanya.

 

Bangunan simulator itu menempatkan enam ruang simulator penerbangan penuh, termasuk simulator bagi Airbus A330neo, Boeing B737-800NG dan ATR 72-500.

 

Selain itu, sebuah simulator penerbangan penuh B737-8 baharu akan diperkenalkan dan dijangka beroperasi menjelang Julai 2026, menurut MAG.

 

Kemudahan tersebut turut dilengkapi jurulatih pemindahan kecemasan kabin serta kolam latihan kelangsungan hidup air dengan simulasi ombak, yang merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

 

Loke berkata, pelancaran bangunan simulator itu merupakan satu langkah penting ke arah aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab latihan penerbangan di Asean, dengan menawarkan kemudahan bertaraf dunia, teknologi simulasi canggih serta pematuhan kukuh terhadap piawaian keselamatan global.

 

Beliau berkata, pelaburan berterusan MAG melalui MAB Academy akan memperkukuh ekosistem penerbangan negara dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau.

 

Bangunan simulator berkenaan melengkapkan peralihan MAB Academy daripada Pusat Latihan Subang yang berusia 40 tahun, selari dengan visinya untuk menjadi pusat pembelajaran penerbangan sehenti.

 

MAB Academy juga telah menjadi pusat latihan penerbangan pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Green Building Index, mencerminkan penekanan terhadap kelestarian, kecekapan tenaga dan reka bentuk mesra alam.

 

Menurut MAG, MAB Academy merupakan Organisasi Latihan Diluluskan yang diperakui oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan kini menawarkan hampir 200 program latihan khusus yang memberi perkhidmatan kepada syarikat penerbangan, korporat, profesional penerbangan serta pelajar antarabangsa. - DagangNews.com

Terkini standard