Mah Sing beli Corus Hotel daripada Malayan United Industries berharga RM260 juta

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2025 • 8:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mah Sing beli Corus Hotel daripada Malayan United Industries berharga RM260 juta

image is not available

08/08/2025 - 08:44

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Mah Sing Group Bhd membeli tanah yang menempatkan Corus Hotel di Kuala Lumpur daripada Malayan United Industries Bhd pada harga RM260 juta.

Terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 0.6 hektar di Jalan Ampang dan hanya lima minit berjalan kaki dari Menara Berkembar PETRONAS, tapak tersebut akan dibangunkan semula menjadi apartmen servis premium pegangan bebas dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.28 bilion.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan United Industries, Andrew Khoo Boo Yeow berkata, penjualan itu adalah sebahagian daripada pelan rasionalisasi aset kumpulan itu, sambil menambah Mah Sing dipilih sebagai rakan kongsi yang berupaya membuka potensi penuh tapak berkenaan.

“Ia adalah masa yang tepat untuk kumpulan kami melupuskan hartanah hotel ini sebagai sebahagian daripada strategi rasionalisasi kumpulan. Kami telah menemui Mah Sing sebagai organisasi yang sesuai untuk menerajui pembangunan semula projek ini dan mewujudkan sebuah projek mercu tanda ikonik yang akan memaksimumkan potensi penuh tanah ini.

“Memandangkan hubungan kami yang telah terjalin selama 40 tahun dengan hartanah ini bermula dengan pembukaan Hotel Ming Court pada tahun 1984 dan penjenamaan semula kepada Corus KLCC, kami menjangkakan pembangunan semula ini akan menambah seri kepada latar langit KLCC dan menyumbang kepada kemeriahan kawasan berprestij ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Keluarga Khoo memegang 43.26% kepentingan dalam Malayan United Industries.

Ia merupakan pengambilalihan tanah kedua oleh Mah Sing setakat tahun ini.

Pengasas yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pengambilalihan itu selari dengan fokus syarikat untuk membuka nilai di lokasi bandar utama yang mempunyai permintaan kukuh.

“Dengan status pegangan bebas yang jarang, keterhubungan yang tiada tandingan, serta lokasi di pusat bandar yang utama, kami percaya projek ini akan menarik minat antarabangsa dan memberikan nilai jangka panjang kepada pembeli rumah serta pihak berkepentingan kami,” katanya.

Menurut Mah Sing, projek itu dijangka menyumbang kepada pemulihan bandar, peluang pekerjaan, merangsang aktiviti ekonomi dan menyokong matlamat Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, yang menekankan pembangunan kawasan kejiranan yang padat, mudah diakses dan boleh didiami.

Penjualan Corus Hotel itu meningkatkan usaha terkini Malayan United Industries untuk menjana wang daripada aset-asetnya. - DagangNews.com

standard