Mah Sing di landasan tepat capai sasaran jualan RM2.65 bilion pada FY25 - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2025 • 9:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mah Sing di landasan tepat capai sasaran jualan RM2.65 bilion pada FY25 - MBSB Research

image is not available

07/08/2025 - 09:34

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Mah Sing Group Bhd berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM2.65 bilion pada FY25 mengatasi jumlah jualan baharu sebanyak RM2.41 bilion pada FY24, kata MBSB Research.

Katanya, pandangan positif itu dipacu momentum jualan kukuh dalam tempoh lima bulan pertama FY25 (5MFY25) yang mencatatkan jualan hartanah baharu berjumlah RM1.01 bilion.

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi jualan yang positif itu disokong kadar ambilan yang memberangsangkan bagi projek baharu M Grand Minori di Johor Bahru

"Pembangunan ini mencatatkan kadar pengambilan sebanyak 90% untuk pelancaran awal Fasa 1, yang merangkumi 843 unit pangsapuri servis Menara A," katanya dalam satu nota kajian.

M Grand Minori, yang terletak hanya 3km dari Stesen RTS Bukit Chagar yang bakal dibuka, mempunyai jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion.

Permintaan tinggi, terutamanya daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, telah mendorong kejayaan pelancaran itu, dengan harga jualan antara RM390,000 hingga RM769,000, purata RM950 bagi setiap kaki persegi.

MBSB Research berkata, kumpulan itu sedang merancang beberapa pelancaran projek utama pada 2HFY25 termasuk Meridin East, M Tiara 2, Tiara Hills di Johor Bahru, M Aurora di Jalan Klang Lama, M Aria di Sentul, M Zenni di Southbay City, Pulau Pinang dan Icon City 2 di Petaling Jaya.

Katanya, pelancaran-pelancaran itu dijangka terus menyokong pertumbuhan jualan kumpulan sepanjang tahun ini.

"Fokus Mah Sing terhadap projek perumahan mampu milik serta projek bersegmen mewah melalui Siri M Grand terus menarik minat pembeli daripada pelbagai latar belakang.

"Disokong saluran jualan yang sihat dan pelaksanaan projek yang mantap, Mah Sing turut menawarkan hasil dividen menarik sebanyak 4.1%, sekali gus meningkatkan nilai kepada pemegang saham," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM1.49 sesaham. - DagangNews.com

featured standard