Mah Sing sasar RM3.3 bilion pelancaran hartanah baharu, Johor kekal jadi tumpuan

28/07/2025 - 11:23
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Julai – Mah Sing Group Bhd menyasarkan prestasi lebih kukuh bagi separuh kedua tahun ini dengan sasaran pelancaran projek hartanah baharu bernilai lebih RM3.3 bilion di seluruh negara dengan Johor menjadi fokus utama pelaburannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow berkata, pemilihan Johor adalah kerana negeri itu semakin pesat membangun, didorong oleh projek infrastruktur rentas sempadan seperti RTS Link Johor-Singapura, selain peningkatan minat daripada pembeli tempatan dan pelabur Singapura.
“Kami telah bertapak kukuh di Johor sejak tahun 2000 dan akan terus memperluas operasi serta pembangunan baharu di sana. Johor adalah antara lokasi yang paling selesa didiami dan kepesatan ekonominya antara tertinggi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelancaran utama: M Grand Minori, M Tiara 2 dan Meridin East
Antara pelancaran utama di Johor ialah M Grand Minori di Taman Pelangi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion, yang menjadi permulaan kepada siri pembangunan M Grand oleh Mah Sing.
Terletak hanya 3 kilometer dari stesen RTS Bukit Chagar, projek itu menyasarkan golongan professional di bandar, pelabur hartanah dan pengguna rentas sempadan.
Mah Sing juga akan melancarkan M Tiara 2 di Skudai (GDV: RM1.45 bilion), iaitu projek kediaman berpagar yang merangkumi rumah teres dua tingkat, apartmen servis dan rumah kluster, manakala pembangunan perbandaran utama Meridin East di Pasir Gudang akan terus berkembang menerusi pelancaran Allamanda Fasa 6, Jasmine 3 dan Ixora Park City.
Menariknya, perbandaran Meridin East turut menawarkan potensi komersial dengan pejabat kedai bermula RM775,000 serta tanah industri seluas 16.9 hektar yang sesuai untuk pembangunan pusat data berskala besar.
Lembah Klang dan Pulau Pinang kekal jadi tumpuan
Tambahnya, selain Johor, Mah Sing turut giat mengembangkan penawaran kediaman mampu milik dan berlokasi strategik di Lembah Klang menerusi pelbagai projek di bawah siri M Series.
“Antara projek terbaharu ialah Impira Fasa 2 di M Legasi, M Aspira di Taman Desa, M Aurora di Jalan Klang Lama, serta M Aria di Sentul yang kesemuanya menyasarkan pembeli rumah pertama dan keluarga yang inginkan keseimbangan antara aksesibiliti dan nilai hartanah jangka panjang.
“Di Pulau Pinang, projek M Zenni bernilai GDV RM309 juta akan dilancarkan di Batu Maung, berdekatan Jambatan Kedua dan kawasan industri seperti Penang Silicon Island dan Zon Perindustrian Bebas (FIZ).
“Dengan mencatat jualan melebihi RM1 bilion dalam lima bulan pertama 2025, Mah Sing kini berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan tahunannya sebanyak RM2.65 bilion, disokong oleh pelancaran produk baharu yang berorientasikan pasaran semasa dan permintaan pengguna,” katanya.
Beliau berkata, Mah Sing komited untuk menyediakan kediaman berkualiti, bernilai dan mampu milik dalam lokasi strategik.
“Pelancaran baharu ini sejajar dengan strategi jangka panjang kami untuk terus mencipta nilai mampan kepada pembeli dan pemegang saham,” katanya.
Mah Sing kini muncul sebagai antara pemaju paling agresif dalam menawan pasaran hartanah pasca pandemik, dengan pendekatan menyeluruh yang menyasar keluarga muda, pelabur, serta perniagaan yang mencari pertumbuhan jangka panjang di kawasan berpotensi tinggi.- DagangNews.com
featured standard

