Mah Sing dijangka catat jualan hartanah lebih kukuh tahun ini dipacu pelancaran baharu dengan GDV RM2.5 bilion – Rakuten Trade

Business & FinanceProperty
17 Jan 2024 • 12:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mah Sing dijangka catat jualan hartanah lebih kukuh tahun ini dipacu pelancaran baharu dengan GDV RM2.5 bilion – Rakuten Trade

diyana

17/01/2024 - 12:03

KUALA LUMPUR 17 Jan - Rakuten Trade menjangkakan jualan hartanah Mah Sing Group Bhd lebih kukuh pada 2024 disokong pelancaran baharu dengan GDV bernilai RM2.5 bilion.

Firma penyelidikan itu berkata kumpulan itu berkemungkinan mendapat kesan positif daripada pembangunan infrastruktur utama pada masa akan datang termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bharu-Singapura, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Ia mendedahkan bahawa syarikat pembinaan tersebut mempunyai baki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM24.4 bilion berdasarkan 925 hektar bank tanah ia miliki.

Pada 2023 sahaja, kumpulan itu telah memperoleh beberapa tanah dengan gabungan GDV kira-kira RM5.5 bilion dan sebahagian besar bank tanah ini disasarkan untuk pelancaran lima pembangunan kediaman, serta fasa seterusnya bagi projek sedia ada bagi 2024.

“Secara keseluruhannya, syarikat itu merancang untuk melancarkan jumlah GDV bernilai RM2.5 bilion pada 2024,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Rakuten Trade, 60% daripada pelancaran kediaman syarikat berharga di bawah RM500,000, manakala 36% bernilai antara RM500,000 dan RM700,000 dan sepanjang tiga tahun lalu, Mah Sing mencapai kadar pengambilan yang membanggakan untuk pelancaran baharunya.

Ia menambah bahawa kumpulan itu yakin untuk mencapai sasaran jualannya sebanyak RM2.2 bilion dengan RM1.8 bilion telah pun dicapai dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23).

Berdasarkan panduan pengurusan, firma itu berkata sasaran jualan Mah Sing untuk 2024 akan lebih tinggi daripada jumlah jualan pada 2023 yang akan diumumkan pada Februari.

“Kami menjangkakan Mah Sing akan mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM218 juta dan RM236 juta untuk FY24 dan FY25 masing-masing.

“Ini disokong oleh jualan tidak dibilkan yang kukuh bernilai RM2.42 bilion (setakat 9MFY23) dan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi memandangkan penyiapan beberapa projek semasa,” katanya sambil menambah kunci kira-kira syarikat terurus dengan penggearan bersih sebanyak 0.1x pada 9MFY23.

Berdasarkan anggaran firma, Rakuten Trade menjangkakan Mah Sing membayar dividen sebanyak 3.6 sen dan 3.9 sen untuk FY24-FY25 yang diterjemahkan kepada hasil masing-masing 4.1% dan 4.5%.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.11 sesaham.

Setakat 11:53 pagi ini, saham Mah Sing kekal pada 87 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.1 bilion. - DagangNews.com