OSK Mori Park tarik Jaya Grocer sebagai penyewa utama kawasan runcit di Seksyen 13 Shah Alam

26 Aug 2026 • 12:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OSK Mori Park tarik Jaya Grocer sebagai penyewa utama kawasan runcit di Seksyen 13 Shah Alam Image from: OSK Mori Park tarik Jaya Grocer sebagai penyewa utama kawasan runcit di Seksyen 13 Shah Alam liza26/08/2026 - 12:14 Jaya Grocer akan mengambil ruang kira-kira 13,813 kaki persegi untuk menawarkan hasil bahan mentah segar, barangan dapur, keperluan rumah serta pelbagai pilihan produk tempatan dan import Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Jaya Grocer bakal menjadi penyewa utama di OSK Mori Park, Seksyen 13, Shah Alam yang akan terus memperkukuh komponen komersial dalam pembangunan bersepadu OSK Property Holdings Berhad.

 

Jaya Grocer akan mengambil ruang kira-kira 13,813 kaki persegi untuk menawarkan hasil bahan mentah segar, barangan dapur, keperluan rumah serta pelbagai pilihan produk tempatan dan import.

 

Kehadiran Jaya Grocer menyusuli sambutan menggalakkan terhadap dua fasa pertama OSK Mori Park, dengan ALIA yang dilancarkan pada Jun 2024 kini mencapai kadar jualan 98%.

 

ALIA turut mencapai peringkat struktur tertinggi bangunan (topping out) dan dijangka siap sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal daripada jadual, manakala fasa kedua, BAYU yang dilancarkan pada Mei 2025 sudah mencapai kadar jualan 75%.

 

Kemudahan Runcit Untuk Komuniti Yang Berkembang

Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Holdings Berhad, Chu Wai Lune berkata, sambutan positif terhadap ALIA dan BAYU mencerminkan keyakinan pembeli terhadap pelan pembangunan OSK Mori Park.

 

Beliau berkata, kemasukan Jaya Grocer ketika ALIA semakin hampir siap dijangka memberikan lebih banyak kemudahan kepada penduduk selain menghidupkan kawasan komuniti berkenaan.

 

“Kawasan runcit OSK Mori Park terdiri daripada 56 unit dengan keluasan antara 226 hingga 8,897 kaki persegi, manakala harga setiap unit adalah antara RM519,800 hingga RM5.49 juta.

 

“Semua unit mempunyai ketinggian siling 5.4 meter yang memberikan fleksibiliti untuk pelbagai perniagaan termasuk kedai makan, perkhidmatan dan konsep gaya hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Akses Pengangkutan Jadi Tarikan Utama

Kawasan runcit itu direka dengan konsep tanpa pagar serta laluan utama di tengah yang menghubungkan ALIA, BAYU dan TAMU bagi menggalakkan pergerakan pejalan kaki dalam kawasan pembangunan.

 

Unit yang menghadap Jalan Subang menawarkan keterlihatan dan akses yang baik, manakala unit berhampiran persiaran tepi sungai berpotensi untuk konsep makan secara terbuka dan perniagaan berorientasikan gaya hidup.

 

Persiaran tersebut turut dihubungkan dengan jambatan pejalan kaki menuju ke kawasan Stadium Shah Alam dan stesen LRT3 Stadium Shah Alam, selain sebuah stesen perkhidmatan van atas permintaan dalam kawasan runcit.

 

Apabila siap sepenuhnya, OSK Mori Park dijangka mempunyai kira-kira 15,000 penduduk yang akan menyediakan asas pelanggan kepada perniagaan dalam kawasan komersial tersebut.

 

Peluang Perniagaan Terus Dibuka

TAMU pula merupakan fasa ketiga OSK Mori Park, yang menawarkan kediaman dua hingga empat bilik, unit dua kunci (dual-key), Signature Suites dan pelbagai kemudahan untuk melengkapkan kehidupan penduduk.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Investment, Datuk Hoe Mee Ling berkata kehadiran Jaya Grocer akan menjadi asas kukuh kepada perkembangan kawasan runcit berkenaan dan pihaknya kini membuka pendaftaran minat kepada pengusaha makanan dan minuman, penyedia perkhidmatan serta jenama gaya hidup.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng pula berkata, Seksyen 13 merupakan kawasan yang sudah berkembang dan mempunyai potensi untuk memenuhi keperluan penduduk keluarga, golongan profesional serta komuniti perniagaan yang semakin bertambah.

 

Jaya Grocer dijangka menawarkan pelbagai hasil segar, keperluan harian serta produk tempatan dan import kepada penduduk OSK Mori Park dan komuniti Shah Alam yang lebih luas.

 

OSK Mori Park terletak kira-kira 700 meter dari stesen LRT3 Stadium Shah Alam melalui laluan pejalan kaki khusus serta boleh diakses melalui Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Utara-Selatan (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Guthrie. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved