MAHA 2026 pentas pemodenan pertanian

LocalTechnology
21 Aug 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MAHA 2026 pentas pemodenan pertanian
Mohamad (tengah) pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di tapak MAHA 2026 pada Rabu.
Image from: MAHA 2026 pentas pemodenan pertanian
Mohamad (kiri) mendengar taklimat daripada salah satu agensi yang terlibat dalam pameran MAHA 2026.
Image from: MAHA 2026 pentas pemodenan pertanian
Jerami yang dibentuk di Laman Padi.
Image from: MAHA 2026 pentas pemodenan pertanian
Antara maskot yang menanti pengunjung di MAHA 2026.
Image from: MAHA 2026 pentas pemodenan pertanian
Mohamad bersama pegawai kanan kementerian melakukan tinjauan persiapan MAHA 2026, pada Rabu.

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bakal menjadi pentas memperlihatkan transformasi sektor agromakanan negara daripada kaedah tradisional kepada pertanian berasaskan teknologi, automasi dan inovasi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemodenan sektor pertanian menjadi antara fokus utama MAHA 2026 bagi memastikan sektor berkenaan terus berkembang serta mempunyai masa depan yang lebih luas.

Menurut beliau, kementeriannya sedang berusaha mengubah sebahagian besar sektor pertanian negara daripada pendekatan tradisional kepada kaedah moden menerusi penggunaan teknologi masa kini.

**media[3621298]**

“Pertanian secara tradisi kita cuba ubah kepada pemodenan. Kalau tidak kesemuanya tapi sebahagian besar pertanian di Malaysia ini kita harap berubah kepada pemodenan,” katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau persiapan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, penggunaan teknologi seperti dron kini semakin biasa digunakan dalam sektor pertanian termasuk di kawasan tanaman padi, nanas dan melon, namun penggunaannya perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, penggunaan teknologi turut meliputi automasi termasuk demonstrasi traktor yang boleh bergerak tanpa pemandu, sekali gus menunjukkan perkembangan teknologi dalam sektor pertanian.

“Kalau di negeri China, di Holland dan sebagainya mereka dalam bidang pertanian ini memang sudah cukup moden,” katanya.

**media[3621303]**

Dalam pada itu, Mohamad berkata, MAHA 2026 turut membawa tema Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan yang mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh terhadap sektor agromakanan negara.

Menurutnya, keterjaminan makanan bukan hanya berkaitan pengeluaran makanan, sebaliknya turut merangkumi teknologi, inovasi, nilai tambah, keusahawanan, pelaburan dan pasaran.

“Kita mahu MAHA menjadi platform yang menunjukkan bagaimana sektor agromakanan negara sedang bergerak ke hadapan dan mencipta nilai di sepanjang rantaian makanan,” jelasnya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi dan automasi juga penting untuk menarik lebih ramai golongan muda melihat sektor agromakanan sebagai bidang yang mempunyai masa depan.

**media[3621304]**

“Kebanyakan program automasi ini ditujukan kepada belia supaya mereka dan sudah banyak sekarang belia-belia cebur diri secara terus lepas daripada universiti, ada yang terus cebur dalam bidang pertanian dengan pemodenan yang berlaku sekarang ini,” kata beliau.

Mohamad berkata, MAHA 2026 menyasarkan sekitar 800,000 belia mendapat pendedahan dan manfaat menerusi pelbagai program yang disediakan.

Pada masa sama, beliau menegaskan petani dan penternak perlu melihat lebih jauh daripada sekadar menghasilkan bahan mentah supaya manfaat ekonomi daripada sektor pertanian dapat diperluaskan.

Sebagai contoh, katanya, hasil seperti susu, nanas dan ubi kayu mempunyai potensi untuk diproses menjadi pelbagai produk hiliran.

“Kita mahu supaya orang melihat misalnya ubi kayu, apa dia daripada ubi kayu itu boleh dibuat, berpuluh jenis banyaknya.

“Kalau boleh mereka terlibat dalam proses hiliran itu,” katanya.

**media[3621305]**

Menurut Mohamad, pihak yang terlibat dalam industri hiliran lazimnya memperoleh nilai ekonomi lebih tinggi berbanding pengeluar yang hanya menghasilkan produk awal.

“Yang menanam itu kadangnya hanya adalah hasil awal, tapi hiliran itu yang menyebabkan berlaku industri daripada pertanian itu,” katanya.

MAHA 2026 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS, Serdang, dengan sasaran sekitar empat juta pengunjung dan 2,000 pempamer.

Penganjuran kali ini turut menyasarkan RM58 juta jualan langsung serta RM8 bilion potensi pelaburan dan perdagangan, selain penyertaan 14 negara luar dan 40 pembeli antarabangsa menerusi MAHA Go Global.

Mohamad berkata, MAHA 2026 bukan sekadar pameran pertanian, sebaliknya platform untuk masyarakat melihat sendiri perkembangan sektor agromakanan negara.

“MAHA bukan sekadar tentang pertanian, tetapi tentang makanan kita dan masa depan negara,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved