Keluar trek punca Aiman terlepas pingat emas

20 Aug 2026 • 4:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keluar trek punca Aiman terlepas pingat emas

SERDANG: Gara-gara keluar trek ketika larian, atlet jarak jauh Pulau Pinang, Mohamad Aiman Haikal Sahrudin terpaksa berputih mata apabila penyertaannya dalam acara 20,000 meter (m) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dibatalkan, hari ini.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Aiman pada awalnya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, namun kemenangan itu tidak dikira selepas delegasi teknikal menerima bantahan daripada beberapa negeri.

Aiman didapati keluar dari trek kira-kira tiga pusingan terakhir selepas mengakui berdepan kesukaran bernafas, selain hampir pengsan dan muntah akibat terlalu kepenatan.

“Saya memang rasa sakit dan sangat kecewa apabila keputusan pembatalan diumumkan. Saya sudah berusaha dan berjuang habis-habisan, sampai muntah pun saya tidak mahu mengalah.

“Ketika itu nafas saya sangkut dan rasa hendak muntah. Saya juga rasa seperti hendak pitam. Saya cuba kekalkan langkah, tetapi apabila atlet Kelantan dan Wilayah Persekutuan semakin rapat, saya bergerak sedikit ke tepi untuk mengelakkan diri daripada terjatuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Keputusan pembatalan kemenangan Aiman dibuat oleh delegasi teknikal berikutan dia memasuki semula ke trek pada laluan berbeza iaitu sedikit di hadapan sekali gus memberi kelebihan kepadanya.

Situasi itu menyaksikan pingat emas menjadi milik atlet Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong yang merekodkan masa 1 jam 36 minit 32.02 saat (s).

Pingat perak pula diraih wakil Kelantan, Ahmad Farish Irfan Ahmad Fahmi dengan catatan 1:36:57.50s manakala gangsa menjadi milik seorang lagi atlet Pulau Pinang, Sriven Tan dengan masa 1:38:52.23s.

Aiman sebelum ini memenangi emas pertamanya pada penampilan sulung di temasya dwitahunan itu dalam acara 10,000m, Isnin lalu. – UTUSAN

The post Keluar trek punca Aiman terlepas pingat emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved