MAHA Pahang kukuh agenda keterjaminan makanan

LocalFood
26 Jul 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MAHA Pahang kukuh agenda keterjaminan makanan
Mohd Soffi

RAUB – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) Pahang 2026 bukan sekadar medan mempamerkan produk pertanian, sebaliknya menjadi platform strategik kerajaan negeri memperkukuh agenda keterjaminan makanan, membangunkan usahawan tani serta merancakkan industri asas makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, pameran itu selaras dengan usaha kerajaan negeri yang mahu menjadikan sektor pertanian sebagai petunjuk utama pertumbuhan ekonomi negeri itu.

“Komitmen ini diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk memperkasa organisasi peladang, memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan serta memperluaskan penyertaan pemain industri di seluruh negeri.

“Kerajaan negeri mahu memastikan Pahang terus muncul sebagai antara penyumbang utama sektor pertanian negara, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub pada Sabtu.

Menurut Mohd Soffi, sambutan terhadap acara itu amat memberangsangkan apabila hampir 75,000 pengunjung direkodkan setakat jam 11 pagi pada hari pelancarannya.

Katanya, pameran itu bukan sahaja membuka peluang kepada usahawan memasarkan produk masing-masing, malah menjadi platform memperkenalkan inovasi serta produk hiliran pertanian kepada masyarakat.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan beberapa kluster pertanian dan penternakan berimpak tinggi termasuk kluster lembu tenusu serta kerbau susu bagi meningkatkan pengeluaran makanan bernilai tinggi.

Katanya, Pahang kini antara pengeluar utama susu lembu negara, selain giat memperluaskan pembangunan kluster kerbau susu yang hasilnya diproses menjadi keju mozzarella sebagai produk nilai tambah industri.

“Kerajaan negeri turut memperkasa industri penternakan lembu Wagyu apabila sebanyak 161 ekor baka premium itu diimport dari Australia dan kini berkembang kepada lebih 500 ekor di Bukit Kajang.

“Baka Wagyu ini akan diagihkan secara berperingkat kepada penternak bagi membolehkan lebih ramai pengusaha menyertai industri penternakan bernilai tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Soffi berkata, MAHA Pahang 2026 menghimpunkan sebanyak 220 gerai pameran melibatkan kira-kira 500 produk daripada agensi kerajaan, usahawan dan pemain industri sepanjang program berlangsung.

Justeru beliau berharap kejayaan penganjuran MAHA Pahang mampu menyuntik semangat baharu kepada pengusaha pertanian untuk terus meningkatkan pengeluaran, sekali gus menyokong usaha kerajaan negeri memperkukuh sektor agromakanan dan keterjaminan makanan di Pahang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved