
RAUB: Pahang mempunyai kekuatan besar untuk muncul sebagai peneraju sektor pertanian negara apabila menjadi penyumbang kedua terbesar sektor berkenaan pada 2024 dengan nilai pengeluaran melebihi RM25 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kira-kira 88 peratus daripada nilai itu disumbangkan subsektor tanaman manakala sektor pertanian turut menyumbang RM15.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang yang bernilai RM71 bilion tahun lalu.
Katanya, pencapaian itu membuktikan sektor pertanian bukan lagi sektor kelas kedua sebaliknya menjadi tonggak penting ekonomi negeri yang perlu terus diperkasa menerusi teknologi, inovasi dan pengeluaran bernilai tambah.
“Cameron Highlands terus menjadi kebanggaan negara sebagai pengeluar utama sayur-sayuran berkualiti bernilai RM3.6 bilion manakala kelapa sawit menjadi penyumbang terbesar ekonomi pertanian negeri dengan nilai RM14.18 bilion,” katanya ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) Pahang 2026 di Dataran Raub, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, Raub pula mempunyai kelebihan tersendiri apabila nama daerah itu sudah menjadi jenama dunia menerusi durian Musang King.
“Apabila orang menyebut Musang King, mereka mengingati Raub. Apabila orang mengingati Raub, mereka sebenarnya sedang mengingati Pahang. Inilah kekuatan yang perlu kita pelihara dan bangunkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap pembangunan sektor penternakan termasuk industri lembu wagyu yang kini mempunyai 446 ekor, industri tenusu dan ruminan, selain memperluas penggunaan teknologi moden dalam penternakan.
Katanya, sektor perikanan dan akuakultur juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan berdasarkan kelebihan Pahang yang memiliki pantai, sungai dan tasik.
Sementara itu, beliau mengajak generasi muda supaya tidak lagi melihat pertanian dengan pandangan lama kerana sektor itu kini berasaskan data, teknologi, inovasi dan keusahawanan.
“Hari ini pertanian bukan lagi soal cangkul dan parang. Hari ini pertanian adalah data, teknologi, inovasi dan keusahawanan. Kita mahu anak-anak muda menjadi pencipta teknologi agro, pengeksport makanan dan usahawan bertaraf global, bukan sekadar pencari pekerjaan tetapi pencipta peluang pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MAHA Pahang bukan sekadar sebuah ekspo, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan ilmu dengan pengalaman, petani dengan teknologi serta usahawan dengan pelabur.
Menurutnya, MAHA Pahang yang kini memasuki tahun kedua akan diteruskan dari satu daerah ke satu daerah bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai lebih ramai rakyat, selain penganjuran tahun ini selama empat hari disertai lebih 100 usahawan dan menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung dengan nilai jualan melebihi RM1.3 juta.
“Kalau sesuatu itu membawa manfaat kepada rakyat, mengapa kita mahu berhenti? Insya-Allah, pada tahun-tahun akan datang, MAHA akan terus bergerak dari satu daerah ke satu daerah dan Lipis tahun 2027 supaya manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat Pahang,” katanya. – UTUSAN
The post Pahang penyumbang kedua terbesar sektor pertanian appeared first on Utusan Malaysia.





