Mahasiswa UPM dekati 50 anak Orang Asli Kampung Bateq melalui program STEM
zulfadli
07/11/2023 - 10:51
KUALA LUMPUR 7 Nov - Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) Universiti Putra Malaysia mengadakan program Salam Desa Madani 5.0@Kuala Tahan bersama anak-anak Orang Asli Kampung Bateq, Kuala Tahan, Pahang baru-baru ini.
Program itu melibatkan seramai 10 pelajar KTAG yang bertindak sebagai fasilitator dan 50 anak Orang Asli yang berumur antara 6 sehingga 12 tahun, menerusi kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM dan Hope and Birdgroup Taman Negara.
Ia bertujuan memberi pendedahan kepada anak-anak Orang Asli dalam meneroka bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) dalam aktiviti berkumpulan melalui permainan.
Program tersebut dilihat membantu melahirkan anak-anak Orang Asli dalam menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang STEM.
Hal ini kerana tahap pembelajaran mereka masih belum mencapai standard sistem pembelajaran yang diamalkan di sekolah-sekolah bandar.
Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani dan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr Ahmad Shukri berkata, pendidikan STEM menjadi keutamaan kepada pihak sekolah dan universiti ke arah memartabatkan ilmu kepada generasi akan datang.
"Anak-anak Orang Asli perlu diberi perhatian dalam meningkatkan pengetahuan melalui aktiviti di luar bilik darjah. Aktiviti ini akan meningkatkan kefahaman, memberi pengalaman, dan meningkatkan keyakinan diri anak-anak Orang Asli," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.


Antara isi program STEM ialah 'explorace' yang merangkumi slot pengenalan asas matematik, lava lamp, Non-Newton Fluid, jam lantai, syoknya sains, dan lain-lain.
Melalui aktiviti tersebut, anak-anak Orang Asli dapat diperkenalkan dengan keseronokan ilmu sains serta menimbulkan minat terhadap ilmu STEM.


Dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), program STEM dilihat mampu melahirkan anak-anak Orang Asli yang memiliki intelektual tinggi dalam bidang sains dan teknologi.
Ia akan memberi impak positif kepada negara dalam usaha ke arah negara maju pada masa akan datang. - DagangNews.com
