johardy23/04/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 April - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diarahkan mengambil langkah segera termasuk menambah tenaga kerja di kawasan kritikal penumpang susulan gangguan besar sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hujung minggu lalu.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan kebimbangan terhadap kegagalan operasi berkenaan.
“MAHB akan melaksanakan beberapa langkah serta-merta termasuk menambah jumlah petugas di kawasan ketibaan dan lokasi kritikal lain yang telah dikenal pasti.
"MAHB juga dikehendaki mengemukakan laporan kemajuan mingguan kepada Kementerian Pengangkutan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Sistem bagasi KLIA rosak, MoT arah segera laksanakan rombakan menyeluruh
Gangguan yang berlaku pada Sabtu lalu selama kira-kira lima jam itu dikesan berpunca daripada kerosakan voltan tinggi di pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Raja.
Dapatan awal menunjukkan gangguan pada unit 132kV Gas Insulated Switchgear (GIS) sekitar pukul 4.54 petang telah mencetuskan kejatuhan voltan, sekali gus menjejaskan operasi di Terminal 1 KLIA sehingga perkhidmatan dipulihkan sepenuhnya sekitar pukul 10.30 malam.
Sepanjang tempoh gangguan lima jam itu, sebanyak 23,769 bagasi telah diproses.
Namun, kegagalan sistem tersebut menyebabkan 1,061 bagasi tertinggal dan 120 bagasi dilaporkan hilang sebaik tiba, sekali gus menimbulkan kesulitan besar kepada para penumpang. - DagangNews.com






