TNB sahkan tiada gangguan bekalan elektrik pada masa kejadian sistem bagasi KLIA rosak Sabtu lalu

LocalBusiness & Finance
22 Apr 2026 • 6:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB sahkan tiada gangguan bekalan elektrik pada masa kejadian sistem bagasi KLIA rosak Sabtu lalu Image from: TNB sahkan tiada gangguan bekalan elektrik pada masa kejadian sistem bagasi KLIA rosak Sabtu lalu johardy22/04/2026 - 18:06 Orang ramai menunggu beg-beg mereka sehingga 6 jam akibat kerosakan sistem bagasi di KLIA pada Sabtu lalu. Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 April – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan tiada sebarang gangguan bekalan elektrik direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika sistem pengendalian bagasi mengalami gangguan pada Sabtu lalu.

 

Menurut TNB, keadaan sistem bekalan elektrik di KLIA adalah dalam keadaan baik sepanjang insiden tersebut berlaku.

 

“Sistem bekalan elektrik berada dalam keadaan baik ketika sistem pengendalian bagasi KLIA tergendala,” kata syarikat utiliti nasional itu.

 

TNB turut menegaskan bahawa tiada sebarang gangguan bekalan elektrik dilaporkan pada hari kejadian.

 

“TNB bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi membantu siasatan lanjut, serta menyokong sebarang langkah mitigasi dan penambahbaikan seterusnya,” menurut kenyataan itu.

 

Dalam masa sama, TNB turut memaklumkan orang ramai yang ingin melaporkan gangguan bekalan elektrik boleh berbuat demikian melalui talian 15454, mesej langsung di Facebook TNB Careline, hantaran di X (@Tenaga_Nasional) atau e-mel CareLine@myTNB.my.

 

Dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri

Pada Sabtu lalu, sistem pengendalian bagasi di Terminal 1 KLIA dilaporkan mengalami gangguan sementara, menyebabkan kelewatan antara dua hingga enam jam terhadap ramai penumpang.

 

Kementerian Pengangkutan memaklumkan pada Isnin bahawa punca kejadian telah dikenal pasti dan langkah pencegahan telah diambil bagi mengelakkan kejadian berulang serta memperkukuh ketahanan sistem.

 

Kementerian itu juga telah mengarahkan baik pulih menyeluruh terhadap protokol dan infrastruktur pengendalian bagasi di lapangan terbang berkenaan.

 

Satu nota Jemaah Menteri berhubung insiden itu dibentangkan hari ini, manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang menjalankan siasatan lanjut. - DagangNews.com

Terkini featured standard