liza30/09/2026 - 15:04 Gambar FB Gerald Goh Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pihak berkuasa dan agensi yang terlibat digesa menilai semula paparan latar ikonik (backdrop) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang didakwa lebih menampilkan motif tenunan ‘ikat’ Indonesia berbanding identiti budaya Sarawak.
Presiden Persatuan Kraftangan, Seni dan Cenderamata Sarawak, Gerald Goh berkata kira-kira 98% motif pada paparan berkenaan kelihatan seperti tenunan ‘ikat’ Indonesia dan hanya sebahagian kecil mempunyai persamaan dengan Pua Kumbu Sarawak yang ditempatkan di bahagian penjuru.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata perkara itu wajar diberi perhatian kerana KIA merupakan pintu masuk antarabangsa utama Sarawak dan antara gambaran pertama yang dilihat pelawat terhadap negeri itu.
“Apabila melibatkan elemen budaya ikonik, tidak seharusnya ada kompromi. Identiti visual yang dipaparkan di pintu masuk antarabangsa kita adalah penting,” katanya.
Gerald berkata, sekiranya reka bentuk berkenaan lebih menyerupai lapangan terbang di Kalimantan berbanding Sarawak, ia boleh menyebabkan mesej budaya yang disampaikan kepada pelancong tidak menggambarkan identiti negeri itu dengan tepat, lapor Borneo Post.
Bukan menolak budaya Indonesia
Beliau menegaskan bahawa tegurannya bukan bertujuan menolak budaya Indonesia, sebaliknya mahu memastikan warisan Sarawak yang tersendiri diwakili dengan tepat menerusi elemen visual yang digunakan.
Menurutnya, Sarawak mungkin mempunyai asal-usul budaya yang sama dengan wilayah lain, namun negeri itu telah berkembang dengan identiti tersendiri.
“Kita mungkin mempunyai asal-usul yang sama, tetapi Sarawak telah berkembang menjadi sesuatu yang tersendiri. Mengapa menggunakan reka bentuk tenunan Indonesia untuk mempromosikan Sarawak sedangkan kita boleh menampilkan keaslian sendiri?” katanya.
Gerald berkata, keunikan budaya merupakan antara elemen penting yang menyumbang kepada daya saing pelancongan Sarawak di peringkat serantau.
Oleh itu, beliau berharap perkara itu akan diambil Tindakan serius bagi memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menampilkan identiti yang jelas sebagai pintu masuk Sarawak selain memastikan warisan budaya negeri itu dipersembahkan secara tepat dan membanggakan. - DagangNews.com






