
KUALA LUMPUR – Bermula 1 Januari tahun depan kadar tambang KLIA Ekspres dan KLIA Transit perjalanan sehala bagi penumpang dewasa antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang akan dinaikkan daripada RM55 kepada RM65.
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam satu kenyataan berkata, pelarasan itu dibuat selepas 11 tahun semakan tambang terakhir pada 2016, susulan peningkatan ketara kos operasi dan penyenggaraan, selaras dengan Perjanjian Konsesi ERL dengan Kerajaan.
Katanya, langkah itu akan menyokong usaha berterusan ERL untuk mengekalkan serta menyediakan perkhidmatan rel yang boleh dipercayai, cekap dan berkualiti kepada penumpang.
“Tambang standard sehala bagi penumpang dewasa untuk perjalanan antara KL Sentral dan KLIA (Terminal 1 dan Terminal 2) akan dinaikkan daripada RM55 kepada RM65, manakala tambang bagi semua sektor lain turut diselaraskan sewajarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Datin Noormah Mohd Noor berkata, pelarasan tambang tersebut mencerminkan realiti dalam mengoperasikan dan mengekalkan perkhidmatan rel lapangan terbang yang berkualiti tinggi.
Di samping itu katanya, ia juga bagi memastikan ERL kekal dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan kepada penumpang bagi jangka masa panjang.
“Selama ini, KLIA Ekspres dan KLIA Transit terus menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan selesa serta pada masa sama mengurus kos operasi yang semakin meningkat.
“Pelarasan tambang ini akan menyokong usaha kami untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi dan melabur untuk penambahbaikan demi meningkatkan pengalaman penumpang, dan kami komited dalam menyediakan kesambungan terpantas dan paling dipercayai antara KL Sentral dan KLIA,” katanya.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, ERL sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik untuk menawarkan diskaun tiket eksklusif hingga 30 peratus mulai Januari 2027.
“Ia sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada penumpang menikmati penjimatan bagi perjalanan mereka.
“Butiran lanjut akan diumumkan selepas urusan berkenaan dimuktamadkan,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Pertanyaan Pelanggan di talian 03-2267 8000 atau melayari www.KLIAekspres.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tambang baharu bagi semua produk dan perkhidmatan ERL.
The post Tambang KLIA Ekspres, Transit naik RM10 kepada RM65 mulai 1 Januari appeared first on Kosmo Online.




