
PUTRAJAYA – Perasaan simpati terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas pemergian isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mendorong seorang wanita untuk terbang dari Kuching, Sarawak bagi menziarahi pusara tokoh negara itu di Pusara Negara, di sini hari ini.
Menurut Nur Athirah Sidek, 29, dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi bersama ibu dan mengambil peluang menziarahi pusara Allahyarham walaupun mempunyai urusan kerja di ibu negara.
Katanya, hasrat untuk menziarahi pusara Tun Siti Hasmah sudah dirancang lebih awal sebaik mengetahui mengenai pemergian Allahyarham.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya sampai dari Kuching dan ada rezeki untuk ziarah kubur Tun Siti Hasmah.
“Sejak beberapa hari lalu saya mengikuti perkembangan dan melihat keadaan Tun Mahathir.
“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada beliau,” katanya.
Katanya, walaupun tidak pernah bertemu secara peribadi dengan Tun Mahathir mahupun Tun Siti Hasmah, namun pasangan itu sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia.
Nur Athirah berkata, dia secara peribadi tersentuh dengan kesetiaan yang terjalin antara Tun Mahathir dan isterinya termasuk sebagai pasangan suami isteri selama 70 tahun.
“Saya tak pernah jumpa mereka, tetapi bila melihat keadaan Tun Mahathir sekarang, saya rasa sebak.
“Sebagai manusia, kita rasa kasihan. Mereka telah hidup bersama selama kira-kira 70 tahun. Bila melihat keadaan itu, saya berdukacita juga,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Terbang dari Kuching ziarah pusara Tun Siti Hasmah appeared first on Kosmo Online.






