Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meningkatkan kawalan trafik di KLIA Terminal 1 dengan memperkenalkan sistem Pengenalan Plat Nombor (LPR) yang digabungkan bersama Passenger Information Display System (PIDS). Kemudahan tambahan turut disediakan termasuk kiosk layan diri, ruang menunggu khas, lorong pengambilan tersusun serta pegawai pengawal bertugas.

Langkah ini bukan sahaja melancarkan proses pengambilan penumpang, malah meningkatkan kawalan akses bagi mengekang perkhidmatan seru pandu tidak sah. Melalui sistem LPR baharu, setiap kenderaan yang memasuki kawasan lapangan terbang dapat dikenal pasti secara automatik sekali gus mengukuhkan keselamatan penumpang.
Berdasarkan maklumat daripada Malaysia Airports, penumpang perlu memasukkan nombor plat kenderaan seru pandu di kiosk layan diri di ‘E‑Hailing Lounge’ supaya kenderaan dapat dikesan dan dipaparkan pada skrin PIDS. Kawasan pengambilan seru pandu di KLIA Terminal 1 turut disusun semula dengan ruang pengambilan yang lebih teratur serta pegawai pengawal disediakan bagi membantu penumpang dan memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Sebagai sebahagian daripada operasi baharu ini, setiap kenderaan seru pandu akan dikenakan caj masuk sebanyak RM3 apabila memasuki kawasan pengambilan penumpang di aras satu Bangunan Terminal Utama. Tempoh maksimum yang dibenarkan ialah 10 minit dan penalti akan dikenakan sekiranya had masa tersebut dilanggar.
MAHB menegaskan bahawa inisiatif ini dibangunkan hasil sesi libat urus bersama pengendali seru pandu serta diselaraskan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Pelaksanaan ini juga selari dengan cadangan Jawatankuasa Fasilitasi Lapangan Terbang Kebangsaan (NAFWC) untuk menjadikan ia satu penanda aras baharu dalam pengurusan lapangan terbang negara.
Sumber – Malaysia Airports Holding Berhad


