liza04/08/2026 - 11:47 Penumpang KLIA Terminal 1 kini menikmati pengalaman pengambilan e-hailing yang lebih lancar menerusi ruang menunggu yang selesa, kiosk layan diri dan paparan digital yang memaparkan maklumat ketibaan pemandu secara masa nyata Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menaik taraf sistem pengambilan penumpang e-hailing di Terminal 1 KLIA menerusi pelbagai kemudahan digital dan penambahbaikan operasi bagi melancarkan aliran trafik serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada penumpang.
Pelaksanaan yang berkuat kuasa hari ini melibatkan kawasan pengambilan penumpang e-hailing di Aras 1, Bangunan Terminal Utama KLIA dengan pengenalan Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Kenderaan (LPR) yang diintegrasikan dengan Sistem Paparan Maklumat Penumpang (PIDS).
Turut diperkenalkan ialah kiosk layan diri bagi membantu penumpang mengenal pasti lokasi pengambilan, ruang menunggu khas yang lebih selesa, ruang pengambilan penumpang yang lebih tersusun serta petugas di lokasi bagi membantu penumpang dan melancarkan aliran trafik.
Menurut MAHB, penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan keselesaan penumpang, mengoptimumkan pergerakan trafik serta memperkukuh kecekapan operasi di lapangan terbang.
Penambahbaikan Dibangunkan Bersama Pengendali E-Hailing
“Inisiatif tersebut dibangunkan hasil sesi libat urus bersama pengendali e-hailing serta kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), selaras dengan syor Jawatankuasa Kerja Pemudahcara Lapangan Terbang Kebangsaan.
“Sistem baharu itu akan memperkukuh pemantauan dan kawalan akses bagi membendung aktiviti e-hailing haram, selain memastikan hanya kenderaan e-hailing yang dibenarkan menggunakan kawasan pengambilan penumpang yang disediakan,” kata MAHB dalam satu kenyataan.

Bagi memastikan kemudahan dan sistem yang dinaik taraf itu dapat terus diselenggara dengan baik, MAHB akan mengenakan caj kemasukan sebanyak RM3 kepada setiap kenderaan e-hailing yang memasuki kawasan pengambilan penumpang di Aras 1, Bangunan Terminal Utama Terminal 1 KLIA bermula hari ini.
Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA, Abd Hasman Abd Muhimin berkata, usaha meningkatkan mutu perkhidmatan di lapangan terbang bukan hanya tertumpu di dalam terminal, malah merangkumi keseluruhan perjalanan penumpang dari awal hingga akhir.
Beliau berkata, MAHB menghargai sokongan dan kerjasama berterusan syarikat pengendali e-hailing dalam menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, tersusun dan boleh dipercayai kepada penumpang, sekali gus mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan bertaraf dunia.
Had Masa Pengambilan Kekal 10 Minit
Dalam pada itu, MAHB memaklumkan kenderaan e-hailing masih diperuntukkan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang di tepi jalan.
Katanya, kenderaan yang melebihi tempoh tersebut akan dikenakan caj penalti bagi memastikan aliran trafik lebih lancar, meningkatkan ketersediaan ruang pengambilan penumpang serta menjadikan proses pengambilan penumpang lebih cekap.
Melalui pelaksanaan kemudahan digital dan penambahbaikan operasi itu, MAHB berharap sistem pengambilan penumpang e-hailing di Terminal 1 KLIA akan menjadi lebih tersusun, cekap dan selamat, selain menyokong usaha meningkatkan mutu perkhidmatan lapangan terbang negara. - DagangNews.com





