MAHB pantau, periksa landasan KKIA secara berkala

22 Sep 2026 • 4:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

MAHB pantau, periksa landasan KKIA secara berkala

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkatkan pemantauan keadaan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan keutamaan diberikan kepada tindakan segera terhadap sebarang masalah yang dikesan.

Jurucakap syarikat itu berkata pihak pengurusan memandang serius aspek keselamatan landasan.

“Sebagai sebahagian daripada Program Pengurusan Keselamatan kami, pemeriksaan landasan dilakukan secara berkala di KKIA bagi memantau keadaan permukaan landasan serta mengenal pasti sebarang keperluan pembaikan,” katanya.

Beliau berkata kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudiannya dilaksanakan berdasarkan program serta hasil pemeriksaan yang dijalankan.

“Pemeriksaan dan aktiviti penyelenggaraan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan landasan kekal selamat dan sesuai dari segi operasi bagi pergerakan pesawat.

“Sekiranya pembaikan diperlukan, kerja-kerja berkenaan akan terus dilaksanakan dengan keputusan operasi berpandukan pertimbangan keselamatan,” ujarnya.

Jurucakap itu berkata pemeriksaan keselamatan rutin turut dijalankan setiap hari terhadap pelbagai kemudahan di KKIA termasuk landasan bagi memastikan tahap “integriti operasi” sentiasa terpelihara.

“Bagi landasan, penyelenggaraan khusus dijalankan dua kali seminggu.

“Landasan ditutup antara jam 2.45 pagi hingga 5 pagi pada waktu berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan,” jelasnya.

Jurucakap itu berkata demikian sebagai menjawab kebimbangan orang ramai berhubung penutupan sementara landasan antara jam 2.45 petang hingga 11.30 malam pada Khamis.

Lebih 20 penerbangan terjejas sepanjang tempoh sembilan jam itu dengan sebahagiannya mengalami kelewatan atau dibatalkan manakala beberapa penerbangan lain terpaksa dilencongkan ke Sandakan atau Labuan.

Antara penerbangan yang terjejas ialah dari bandar-bandar luar seperti Tawau, lokasi di Semenanjung serta penerbangan antarabangsa dari Guangzhou.

Pada ketika itu MAHB mengeluarkan notis menerusi media sosial bagi memaklumkan dan mengemas kini orang ramai mengenai perkembangan kerja-kerja pembaikan yang menyebabkan landasan ditutup.

Beberapa penumpang syarikat penerbangan yang tidak berpuas hati termasuk mereka yang menunggu ketibaan rakan dan ahli keluarga meluahkan rasa kecewa terhadap kesulitan yang dialami akibat pembatalan dan kelewatan penerbangan.

Dalam setiap kes mereka mahu mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai punca penutupan sementara landasan KKIA.

Individu berkenaan secara berasingan mengemukakan butiran berkaitan aduan mereka kepada Hotline, yang kemudiannya disampaikan kepada MAHB.

Jurucakap itu berkata syarikat berkenaan kesal atas kesulitan yang dialami penumpang dan pihak berkepentingan di lapangan terbang susulan penutupan tersebut.

Menurutnya kerja-kerja pembaikan yang dijalankan pada 17 September adalah bagi menangani kehausan setempat pada permukaan landasan akibat operasi biasa landasan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai jenis sebenar kerja pembaikan yang dijalankan.

“Sebahagian kecil kawasan landasan didapati mengalami kemerosotan secara mendadak.

“Keadaan itu memerlukan kerja-kerja pembaikan segera di luar tempoh penyelenggaraan berkala,” katanya.

Beliau berkata penutupan tidak berjadual itu adalah perlu bagi mengutamakan keselamatan landasan.

“Bagaimanapun hujan berterusan pada hari berkenaan menjejaskan kemajuan kerja dan memanjangkan tempoh yang diperlukan untuk menyiapkannya dengan selamat,” jelasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved