Landasan KKIA ditutup sementara, 20 penerbangan terjejas

17 Sep 2026 • 10:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Landasan KKIA ditutup sementara, 20 penerbangan terjejas
Beberapa penumpang memerhati paparan maklumat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Foto Bernama

KOTA KINABALU - Landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu masih ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja penting disiapkan dengan selamat, susulan hujan berterusan yang menjejaskan kemajuan kerja-kerja berkenaan.

Malaysia Airports dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis memaklumkan penutupan sementara itu telah menjejaskan 20 penerbangan pada hari ini dan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan untuk menguruskan kesan operasi serta membantu penumpang yang terjejas.

"Keselamatan kekal sebagai keutamaan kami dan operasi penerbangan hanya akan disambung semula apabila landasan disahkan selamat untuk digunakan.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul serta menghargai kesabaran anda dalam memahami situasi ini," menurut kenyataan itu.

Malaysia Airports juga menasihatkan semua penumpang supaya menyemak status penerbangan terkini secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa kawasan di Sabah, termasuk Sandakan, Tawau, kawasan pedalaman, Pantai Barat (Ranau dan Papar) serta Wilayah Persekutuan Labuan, setakat jam 11 malam ini. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved