MAHB tingkatkan pengurusan kecemasan lapangan terbang demi keselamatan 60 juta penumpang

8 Sep 2025 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAHB tingkatkan pengurusan kecemasan lapangan terbang demi keselamatan 60 juta penumpang

image is not available

08/09/2025 - 18:00

Anggota Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang jadi nadi keselamatan MAHB / Gambar Facebook Malaysia Airports Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkatkan tahap kesiapsiagaan pengurusan kecemasan di rangkaian lapangan terbang kendaliannya, selaras dengan piawaian antarabangsa bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, ketika ini hampir 60 juta penumpang menggunakan rangkaian lapangan terbang di seluruh Malaysia setakat Julai 2025.

“Sebab itu, MAHB beri keutamaan terhadap pengurusan keselamatan kerana tahap kesiapsiagaan yang tinggi menjadi asas kepada keyakinan dunia terhadap lapangan terbang negara.

“Komitmen ini dizahirkan menerusi Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) yang sentiasa memastikan pematuhan kepada Peraturan Penerbangan Awam (Operasi Aerodrom) 2016.

“Selain itu, ia juga menepati keperluan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selaras dengan piawaian dan amalan disyorkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya,

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan AFRS ke-14 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

image is not available

image is not available

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, langkah itu penting bagi memastikan lapangan terbang di Malaysia kekal berada pada tahap tertinggi dari aspek operasi dan pengurusan kecemasan.

“AFRS adalah barisan hadapan keselamatan operasi penerbangan, yang perlu pantas, berdisiplin dan berani ketika menangani sebarang insiden kecemasan di lapangan.

“AFRS adalah nadi keselamatan lapangan terbang. Keyakinan terhadap kesiapsiagaan kecemasan menjadi asas pengalaman terbaik setiap pengunjung dan langkah ini adalah elemen penting dalam persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 159 pelatih menamatkan latihan intensif 23 minggu bermula 15 April lalu, meliputi fasa peralihan dan penyatuan, latihan asas serta latihan di tempat kerja.

Latihan tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah membentuk disiplin, semangat setiakawan, kekuatan rohani serta pengetahuan teknikal dan undang-undang penerbangan awam, selaras dengan piawaian antarabangsa. - DagangNews.com

standard