Gangguan Aerotrain KLIA: MAHB dan Alstom janji tingkatkan kebolehpercayaan sistem

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2025 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gangguan Aerotrain KLIA: MAHB dan Alstom janji tingkatkan kebolehpercayaan sistem

image is not available

04/09/2025 - 18:18

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menegaskan pihaknya mengambil maklum kebimbangan orang ramai mengenai perkhidmatan Aerotrain KLIA dan isu teknikal yang menjejaskan operasinya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan efisien kepada semua penumpang.

“Kami turut berasa kecewa memandangkan Aerotrain baru sahaja menjalani penyelenggaraan berjadual selama dua minggu melibatkan semua kontraktor.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Penyelaras Projek Aerotrain, Alstom, bahawa punca insiden semalam adalah peranti pengumpul arus (Current Collector Device – CCD) yang tercabut sehingga mencetuskan kehilangan kuasa pada tren,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dalam perbincangan yang diadakan, Alstom bersetuju untuk memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai CCD yang tercabut itu.

“Saya juga telah meminta Alstom menjalankan siasatan menyeluruh serta bekerjasama rapat dengan pasukan jurutera kami semasa waktu penyelenggaraan harian bagi mengenal pasti sebarang risiko,” katanya.

image is not available

Data MAHB menunjukkan peningkatan penggunaan Aerotrain dengan 1.4 juta penumpang menggunakan perkhidmatan itu pada Julai, meningkat kepada 1.7 juta pada Ogos.

Jarak perjalanan tren juga mencatat peningkatan dengan purata lebih 10,700 km pada Ogos.

Prestasi Aerotrain KLIA diukur melalui beberapa penunjuk utama termasuk ketersediaan Perkhidmatan Operasi (OSA) di mana pada bulan pertamanya (Julai 2025), Aerotrain mencatat OSA keseluruhan sebanyak 97.27% dan meningkat kepada 99.93% pada Ogos.

“Kemudian, pertumbuhan jumlah penumpang iaitu 1.4 juta penumpang dipindahkan antara terminal utama dan satelit pada Julai dan meningkat kepada 1.7 juta penumpang pada Ogos.

“Tiga unit Aerotrain secara kumulatif mencatat purata 10,586 km pada Julai dan 10,723 km pada Ogos dengan dua tren menunjukkan peningkatan pada minggu terakhir Ogos,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha berterusan kami meningkatkan prestasi sistem dan pengalaman penumpang.

“Namun sebagai pengendali lapangan terbang, kami menjangkakan lebih baik dan akan terus bekerjasama dengan Alstom untuk melaksanakan langkah menyeluruh termasuk kemas kini perisian dan penambahbaikan sistem bagi memastikan gangguan dapat diminimumkan.

“Saya juga telah meminta pelan pemulihan menyeluruh bagi mengurangkan kemungkinan berulangnya insiden. Walaupun tiada gangguan kepada operasi lapangan terbang dan pemindahan penumpang antara terminal semasa insiden berlaku, matlamat kami adalah mendahului isu operasi.

“Kami amat menghargai kesabaran dan pemahaman penumpang serta pihak berkepentingan ketika kami berusaha mengekalkan piawaian perkhidmatan bertaraf dunia dalam semua aspek operasi lapangan terbang,” katanya.

image is not available

Sementara itu, Pengarah Urusan Negara Alstom Malaysia, Sim Ooi Kok berkata, Alstom mengakui gangguan perkhidmatan melibatkan salah satu unit Aerotrain KLIA pada 3 September 2025.

“Kami sedang bekerjasama dengan pembekal untuk menyokong siasatan punca sebenar insiden yang secara awalnya dikaitkan dengan CCD.

“Insiden ini tidak mencerminkan keseluruhan prestasi sistem Aerotrain yang baru dilancarkan semula. Sebagai langkah berjaga-jaga, semua CCD akan diperiksa setiap hari untuk mengesan sebarang tanda ketidaknormalan.

“Alstom komited menyediakan sistem pengangkutan automatik (APM) yang selamat, boleh dipercayai, dan akan terus menyokong pasukan Malaysia Airports bagi memastikan perkhidmatan berjalan tanpa gangguan,” tambahnya. - DagangNews.com

standard