Mahfuz Persoal Asas Undang-Undang Tahanan Rumah Najib

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 1:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Mahfuz Persoal Asas Undang-Undang Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan asas undang-undang yang digunakan bagi melaksanakan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sedangkan Akta Tahanan Rumah sebelum ini dimaklumkan masih dalam peringkat penggubalan.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa akta berkenaan masih belum dimuktamadkan menimbulkan persoalan yang perlu dijelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara.

Menurut Mahfuz, peguam Najib pada 14 Oktober mengesahkan anak guamnya menerima perintah tahanan rumah, termasuk syarat dan mekanisme pelaksanaannya, dengan kediaman di Langgak Duta ditetapkan sebagai lokasi tahanan.

“Persoalannya mudah, apakah peruntukan undang-undang, peraturan atau kuasa sedia ada yang digunakan untuk melaksanakan tahanan rumah terhadap seorang pesalah yang telah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman penjara?” katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz berkata, sekiranya Akta Tahanan Rumah masih belum berkuat kuasa, kerajaan perlu menjelaskan peruntukan undang-undang yang membolehkan perintah sedemikian dilaksanakan.

Beliau menegaskan, isu itu bukan sekadar melibatkan bekas Perdana Menteri, sebaliknya menyentuh prinsip kedaulatan undang-undang yang perlu terpakai secara sama rata kepada semua rakyat.

Mengibaratkan situasi itu seperti membina rumah tanpa pelan, Mahfuz berkata, asas undang-undang perlu diperjelaskan sebelum sesuatu keputusan besar dilaksanakan.

“Jangan bina rumah tanpa pelan, kemudian baru tercari-cari pelan apabila dipersoalkan untuk menjelaskan bagaimana rumah itu dibina.

“Begitu juga dalam pelaksanaan kuasa negara, asas undang-undang mesti jelas dan boleh diterangkan kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz menegaskan beliau menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, katanya, penghormatan terhadap kuasa berkenaan tidak mengecualikan kerajaan daripada tanggungjawab menjelaskan prosedur dan asas perundangan bagi pelaksanaan sesuatu perintah.

“Saya menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Namun, rakyat berhak mengetahui asas undang-undang bagi pelaksanaannya.

“Jika semuanya mempunyai sandaran undang-undang yang jelas, jelaskan kepada rakyat. Kedaulatan undang-undang bukan sekadar prinsip yang kita sebut, tetapi prinsip yang mesti ditegakkan,” katanya.

Menariknya, Mahfuz turut menyertakan pengalamannya sebagai bekas penghuni Penjara Kajang dalam kenyataan itu, dengan memaklumkan beliau pernah ditahan pada 8 Disember 2000 serta menyatakan nombor banduannya, 20043.

Kenyataan itu menekankan pendiriannya bahawa pelaksanaan hukuman penjara, termasuk sebarang perubahan kaedah penahanan, perlu berlandaskan peruntukan undang-undang yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa Najib telah menerima perintah tahanan rumah tidak dengan sendirinya mengesahkan bahawa perintah itu sudah dilaksanakan.

Status pelaksanaannya serta asas undang-undang yang digunakan masih memerlukan penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa. - Getaran, 16 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved