Mahkamah Agung India benarkan audit forensik Fortis diteruskan: IHH pertahan transaksi, beri kerjasama penuh

Business & FinancePersonal Finance
28 Sep 2026 • 6:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Agung India benarkan audit forensik Fortis diteruskan: IHH pertahan transaksi, beri kerjasama penuh Image from: Mahkamah Agung India benarkan audit forensik Fortis diteruskan: IHH pertahan transaksi, beri kerjasama penuh liza28/09/2026 - 18:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept – IHH Healthcare Berhad mempertahankan transaksi pengambilalihan 31% kepentingannya dalam Fortis Healthcare Limited pada 2018 selepas Mahkamah Agung India membenarkan audit forensik berkaitan syarikat hospital itu diteruskan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IHH berkata Mahkamah Agung India menerusi keputusan pada 25 September 2026 telah melupuskan Petisyen Kebenaran Khas (Special Leave Petition atau SLP) yang difailkan Fortis bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Delhi bertarikh 31 Ogos 2026.

 

Mahkamah Agung bagaimanapun menjelaskan bahawa beberapa pemerhatian dalam keputusan Mahkamah Tinggi Delhi yang dicabar Fortis adalah bersifat tentatif dan dibuat hanya bagi mewujudkan asas untuk menjalankan audit forensik.

 

Mahkamah Agung turut menegaskan bahawa audit berkenaan perlu dijalankan secara bebas dan tidak dipengaruhi oleh pemerhatian tersebut.

 

IHH tegaskan transaksi tidak libatkan dua adik beradik Singh

IHH berkata anak syarikatnya, Northern TK Venture Pte Ltd (NTK), memperoleh 31% kepentingan dalam Fortis pada November 2018 melalui penerbitan saham baharu bernilai INR4,000 crore, selain tawaran mandatori kepada pemegang saham awam.

 

Menurut IHH, transaksi itu dibuat melalui proses bidaan kompetitif yang terbuka dan dikawal selia sepenuhnya, selain mendapat semua kelulusan korporat, pemegang saham dan kawal selia yang diperlukan, termasuk daripada Competition Commission of India (CCI) dan mematuhi peraturan pengambilalihan Securities and Exchange Board of India (SEBI).

 

IHH menegaskan NTK tidak memperoleh sebarang saham sekunder daripada bekas promoter Fortis, Malvinder Mohan Singh dan Shivinder Mohan Singh selain tiada bayaran dibuat kepada kedua-duanya.

 

Dua beradik itu meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah Fortis pada Mac 2018, manakala pelaburan IHH hanya dibuat beberapa bulan kemudian pada November tahun sama.

 

IHH turut menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang interaksi dengan bekas promoter berkenaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IHH Healthcare rayu keputusan Mahkamah Tokyo berkaitan pengambilalihan Fortis

 

Audit berkait pertikaian Daiichi Sankyo

Perkembangan itu berkait dengan prosiding penguatkuasaan di Mahkamah Tinggi Delhi yang dimulakan Daiichi Sankyo Company Limited terhadap Malvinder Mohan Singh dan Shivinder Mohan Singh serta individu dan entiti berkaitan mereka.

 

IHH menegaskan bahawa pihaknya bukan pihak dalam pertikaian atau prosiding antara Daiichi Sankyo dengan Singh bersaudara.

 

Fortis juga sebelum ini mencabar arahan audit forensik berkenaan, selain menegaskan bahawa syarikat itu bukan pihak dalam prosiding timbang tara antara Daiichi Sankyo dengan Singh bersaudara.

 

Fortis turut menjelaskan bahawa sebagai syarikat tersenarai awam, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pemindahan saham oleh bekas promoternya dan tidak menerima sebarang wang atau hasil daripada pelupusan pegangan saham mereka.

 

Fortis menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi Delhi juga tidak mengenakan sebarang liabiliti, penalti atau denda terhadap syarikat itu.

 

IHH kekal komited terhadap India

IHH berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh terhadap audit forensik dan yakin semakan bebas itu akan mengesahkan fakta berkaitan transaksi pelaburannya dalam Fortis.

 

IHH turut menegaskan bahawa pelaburannya dalam Fortis dibuat ketika syarikat itu memerlukan permodalan semula dan hala tuju strategik baharu.

 

Menurut IHH, India kekal sebagai pasaran strategik utama dan kumpulan itu komited untuk meningkatkan kehadirannya serta pelaburan melalui Fortis.

 

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, IHH merancang meningkatkan pegangannya dalam Fortis kepada 51%, mengintegrasikan lagi platform Fortis dan Gleneagles serta meningkatkan kapasiti kepada kira-kira 10,000 katil menjelang 2031. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved