Audit forensik berpotensi rumitkan usaha IHH kuasai majoriti Fortis - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 11:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Audit forensik berpotensi rumitkan usaha IHH kuasai majoriti Fortis - BIMB Securities Image from: Audit forensik berpotensi rumitkan usaha IHH kuasai majoriti Fortis - BIMB Securities hamden07/09/2026 - 11:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept - Perintah Mahkamah Tinggi Delhi supaya audit forensik dijalankan terhadap transaksi saham Fortis Healthcare Ltd yang dipertikaikan dijangka tidak memberi kesan material kepada IHH Healthcare Bhd (IHH), menurut BIMB Securities.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, sebarang penemuan yang tidak memihak kepada IHH berpotensi memanjangkan pertikaian undang-undang dan merumitkan usaha kumpulan berkenaan untuk meningkatkan pegangan majoriti dalam unitnya di India.

 

Mahkamah Tinggi Delhi pada 31 Ogos 2026 mengarahkan pelantikan juruaudit forensik bagi meneliti dakwaan pelupusan aset dan saham Fortis yang sebelum ini dimiliki bekas pemegang saham pengawalnya, Malvinder Mohan Singh dan Shivinder Mohan Singh.

 

Audit itu turut merangkumi penelitian terhadap transaksi berkaitan pemerolehan pegangan IHH dalam Fortis serta transaksi melibatkan RHT Health Trust, dalam kes yang berpunca daripada tuntutan Daiichi Sankyo dari Jepun.

 

“Penemuan audit yang tidak memihak boleh memanjangkan pertikaian undang-undang dan merumitkan laluan IHH ke arah kawalan majoriti,” kata BIMB dalam nota penyelidikannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi Delhi arah audit forensik transaksi Fortis Healthcare, menurut IHH

 

Bagaimanapun, BIMB Securities berkata pengurusan IHH berharap audit forensik yang tidak menemukan sebarang isu material dapat menjadi penutup kepada pertikaian berkenaan.

 

Penganalisis yang baru-baru ini menghadiri persidangan pelabur IHH berkata, Fortis kekal berada di landasan untuk melaksanakan pengembangan brownfield serta potensi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

 

Pada masa sama, proses integrasi Fortis dengan Gleneagles turut berjalan seperti dirancang.

 

IHH terus menyasarkan untuk meningkatkan pegangan dalam Fortis kepada 51% dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

IHH memperoleh kira-kira 31% pegangan dalam Fortis pada 2018 melalui Northern TK Venture Pte Ltd, namun usaha untuk meningkatkan pegangan melalui tawaran pengambilalihan mandatori kemudiannya tersekat susulan pertikaian Daiichi Sankyo.

 

Risiko kewangan dilihat mampu diserap

Sementara itu, RHB Research menganggarkan sekiranya Fortis dinamakan sebagai penghutang penghakiman bagi keseluruhan award Daiichi Sankyo sebanyak 53 bilion rupee India, bersamaan kira-kira RM2.5 bilion, bahagian 31.17% IHH akan berjumlah sekitar RM790 juta.

 

Jumlah itu diterjemahkan kepada kesan kira-kira sembilan sen terhadap harga sasaran IHH.

 

Berdasarkan tuntutan utama Daiichi Sankyo yang lebih kecil, iaitu nilai pasaran semasa 52.9 juta saham yang didakwa telah dilupuskan bernilai sekitar 4.84 bilion rupee India, RHB menganggarkan kesannya sekitar lapan sen berdasarkan pengiraan kasar.

 

“Kami percaya senario kewangan ekstrem yang bersifat hipotetikal ini boleh diserap dengan mudah oleh kunci kira-kira dan aliran tunai operasi IHH yang kukuh,” kata RHB Research.

 

RHB Research bagaimanapun menjangkakan tekanan dagangan sementara terhadap saham IHH, selain potensi kelemahan skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta penelitian kawal selia oleh Securities and Exchange Board of India (SEBI) sepanjang tempoh audit.

 

Namun, RHB berkata sebarang kelemahan harga saham IHH susulan perkembangan itu berpotensi mewujudkan peluang kemasukan yang menarik memandangkan pemacu pertumbuhan asas kumpulan kekal kukuh. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved