IHH Healthcare rayu keputusan Mahkamah Tokyo berkaitan pengambilalihan Fortis

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 6:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IHH Healthcare rayu keputusan Mahkamah Tokyo berkaitan pengambilalihan Fortis Image from: IHH Healthcare rayu keputusan Mahkamah Tokyo berkaitan pengambilalihan Fortis liza24/09/2026 - 18:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – Northern TK Venture Pte Ltd (NTK), anak syarikat tidak langsung milik penuh IHH Healthcare Bhd memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Tokyo terhadap keputusan Mahkamah Daerah Tokyo yang dikeluarkan pada 10 September 2026 yang menolak tuntutan NTK terhadap syarikat farmaseutikal Jepun, Daiichi Sankyo Co Ltd.

 

Syarikat itu berkata, selepas meneliti keputusan berkenaan, pihaknya berpandangan perkara itu wajar disemak oleh mahkamah lebih tinggi dan seterusnya menggunakan haknya untuk mengemukakan rayuan.

 

IHH berkata, pihaknya mengalami kerugian susulan kelewatan mendapatkan kelulusan tawaran wajib (mandatory tender offer) yang diperlukan bagi proses pengambilalihan Fortis Healthcare.

 

Menurut IHH, kelewatan itu berlaku dalam konteks pertikaian antara Daiichi Sankyo dengan beberapa pihak yang mempunyai hutang berdasarkan penghakiman mahkamah, sedangkan IHH bukan pihak dalam pertikaian berkenaan.

 

Pengambilalihan Fortis oleh IHH melalui NTK pada 2018 dilaksanakan menerusi proses yang telus, diketahui umum dan tertakluk kepada peraturan, termasuk mendapatkan semua kelulusan korporat, pemegang saham serta kawal selia yang diperlukan.

 

IHH pertahan proses pengambilalihan Fortis

IHH berkata, transaksi berkenaan turut mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Persaingan India (Competition Commission of India) dan mematuhi peraturan pengambilalihan Lembaga Sekuriti dan Bursa India (Securities and Exchange Board of India).

 

Sebagai antara pelabur asing terbesar dan paling lama dalam sektor hospital India, IHH berkata pihaknya kekal komited terhadap negara itu walaupun berdepan cabaran berkaitan perkara berkenaan.

 

IHH berkata, komitmen itu diteruskan menerusi pelaburan berterusan, pengurusan yang bertanggungjawab serta tumpuan terhadap penjagaan pesakit dan tadbir urus.

 

India kekal sebagai pasaran strategik utama kepada IHH dan kumpulan itu komited untuk memperluaskan kehadiran serta meningkatkan pelaburannya di negara berkenaan.

 

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, IHH merancang meningkatkan pegangannya dalam Fortis kepada 51%, selain mengintegrasikan lagi operasi Fortis dan Gleneagles.

 

Punca Pertikaian IHH-Daiichi Sankyo

Kes ini berpunca daripada pengambilalihan Fortis Healthcare oleh IHH Healthcare pada 2018 melalui NTK termasuk proses tawaran terbuka untuk mendapatkan saham Fortis.

 

IHH mendakwa proses itu mengalami kelewatan dalam mendapatkan kelulusan tawaran wajib susulan pertikaian antara Daiichi Sankyo Company, Limited dengan beberapa pihak yang mempunyai hutang berdasarkan penghakiman mahkamah.

 

Menurut IHH, kelewatan itu menyebabkan NTK mengalami kerugian. NTK kemudian memfailkan tuntutan terhadap Daiichi Sankyo di Mahkamah Daerah Tokyo pada 2023 bagi mendapatkan ganti rugi berhubung kerugian berkenaan.

 

Sasaran 10,000 katil menjelang 2031

IHH turut menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti hospitalnya di India kepada kira-kira 10,000 katil menjelang 2031 bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di negara berkenaan.

 

Kumpulan itu berkata, India merupakan antara pasaran penting dalam strategi pertumbuhannya dan pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sektor penjagaan kesihatan di negara itu.

 

IHH Healthcare merupakan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan multinasional yang mengendalikan jenama termasuk Acibadem, Gleneagles, Fortis, Island, Mount Elizabeth, Pantai, Parkway dan Prince Court.

 

Kumpulan itu mempunyai kira-kira 76,000 kakitangan di 10 negara, termasuk Malaysia, Singapura, Türkiye, India dan China Raya, dengan rangkaian lebih 190 kemudahan penjagaan kesihatan termasuk 89 hospital.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved