Mahkamah arah Rafizi fail pembelaan dalam saman fitnah Caprice

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 4:58 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman fitnah difailkan pempengaruh Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli terhadapnya selewat-lewatnya pada 9 April ini.

Caprice memfailkan saman berhubung empat video dimuat naik di media sosial bekas Menteri Ekonomi itu, yang didakwa mengandungi kenyataan berbaur fitnah berkaitan isu rasuah bernilai RM2.5 bilion membabitkan projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Peguam Mohd Rezan Ezra yang mewakili Caprice berkata pada pengurusan kes hari ini melalui e-review, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar mengarahkan Rafizi selaku defendan untuk memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 9 April ini.

“Caprice pula perlu memfailkan jawapan kepada pembelaan pada atau sebelum 30 April ini. Tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 13 Mei,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata Rafizi menerima saman itu melalui peguamnya dan telah memfailkan memorandum kehadiran. Prosiding turut disertai peguam Edmund Choi yang mewakili Rafizi.

Pada 26 Feb lalu, Caprice memfailkan saman terhadap Rafizi yang didakwa mengeluarkan kenyataan memfitnah dalam empat rakaman video dimuat naik di akaun Instagram, X dan TikTok atas nama pengguna “rafiziramli929” dan “rafiziramli”.

Plaintif mendakwa kenyataan daripada video defendan membawa maksud beliau bertindak bersama pihak tidak dikenali untuk mereka cipta dan menyebarkan dakwaan rasuah palsu. Caprice juga mendakwa kenyataan itu merosakkan reputasinya serta memberi implikasi bahawa beliau tidak boleh dipercayai dalam perbincangan mengenai isu kepentingan awam.

Sehubungan itu, Caprice menuntut ganti rugi khas sebanyak RM10 juta untuk kehilangan pendapatan, selain ganti rugi am, teladan, teruk, faedah dan kos. Beliau turut menuntut Rafizi membuat permohonan maaf serta perintah injunksi bagi memadam video berkenaan daripada platform media sosial defendan.

Kes saman fitnah ini menambah senarai cabaran undang-undang melibatkan tokoh politik dan personaliti media sosial di Malaysia. Projek NETR yang disebut dalam saman merupakan inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan peralihan tenaga negara, dengan nilai pelaburan besar yang menjadi perhatian awam.

Pada 4 Nov tahun lalu, Rafizi menegaskan kerajaan telah berunding dengan Pejabat Peguam Negara bagi memastikan perjanjian perdagangan timbal balik dengan AS mematuhi Perlembagaan.

“Input Pejabat Peguam Negara diambil untuk memastikan peruntukan ART tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang domestik,” katanya. - 25 Mac, 2026

The post Mahkamah arah Rafizi fail pembelaan dalam saman fitnah Caprice appeared first on Scoop.