Peserta himpunan GARAH saman Anwar, kerajaan

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 3:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seramai 11 individu yang ditahan semasa himpunan GARAH di Kompleks Beli-Belah Sogo bulan lalu memfailkan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.
image is not available
Zainul Rijal memberitahu, 11 daripada 19 peserta yang ditahan susulan himpunan GARAP memfailkan saman terhadap kerajaan.

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi dan 10 individu yang ditahan semasa himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di kompleks beli-belah Sogo di sini, bulan lalu memfailkan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Selain Gulab Jan, mereka selaku plaintif yang lain ialah Esma Hisham Zainul Nor, Mohamad Jamalee Basah, Hishammudin Abu Bakar, Monashofian Putra, Mohamad Shafiq Abdul Halim, Jurasmadi Pauzi dan Mohammad Faizal Bakhari. 

Selain itu, plaintif lain ialah Elza Nadiah Shaik Sulaiman, Baharin Mohd Tahir dan Iskandar Khoo Kuan Yiaw. 

Mereka memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Zainul Rijal menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kelima hingga ketujuh.

Peguam yang mewakili semua plaintif, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, terdapat pelanggaran hak mengikut Perkara 5, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan oleh defendan dengan penahanan salah yang dihadapi kesemua plaintif terbabit.

**media[3465145]**

Menurutnya, anak guam turut menyatakan bahawa terdapat kekerasan atau serangan yang tidak perlu dalam proses penangkapan oleh defendan pertama, sementara defendan ketujuh bertanggungjawab menanggung rugi terhadap plaintif.

"Akibat daripada tahanan salah ini, mereka kehilangan kebebasan diri, kecederaan, ketidakselesaan fizikal, tekanan emosi, maruah dan mental. 

"Jadi saman ini difailkan bagi menuntut pihak-pihak yang berautoriti untuk menanggung rugi dan akibat mereka menafikan hak berperlembagaan plaintif," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini selepas memfailkan saman tersebut.

Berikutan itu, Zainul Rijal berkata, plaintif menuntut semua defendan memohon maaf secara bertulis dan deklarasi bahawa penahanan oleh defendan adalah tidak sah serta bercanggah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, plaintif turut menuntut ganti rugi am yang ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teruk dan teladan, faedah pada kadar lima peratus serta kos tindakan.

Pada 8 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, seramai 19 individu ditahan termasuk dua yang akan direman bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan GARAH.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, tangkapan dibuat susulan perhimpunan ad hoc yang berlaku walaupun pihak polis tidak membenarkan penganjurannya atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun ditahan ketika perhimpunan berlangsung pada Sabtu.