Mahkamah arah TNB bayar RM10.52 juta kepada PLUS akibat kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 12:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah arah TNB bayar RM10.52 juta kepada PLUS akibat kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang Image from: Mahkamah arah TNB bayar RM10.52 juta kepada PLUS akibat kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang liza22/09/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept – Mahkamah Tinggi mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar ganti rugi khas sebanyak RM10.52 juta kepada Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) berhubung kebakaran besar di terowong kabel di bawah Jambatan Pulau Pinang pada Februari 2021.

 

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Shahrir Mohd Salleh dalam penghakiman yang dibuat pada 16 September 2026 selepas mahkamah mendapati TNB bertanggungjawab terhadap kejadian kebakaran tersebut.

 

Mahkamah mendapati TNB bertanggungjawab atas dasar kecuaian di bawah undang-undang sivil serta pelanggaran kewajipan berkanun di bawah Seksyen 33A Akta Bekalan Elektrik 1990.

 

Menurut penghakiman itu, TNB gagal mengesan dan membaiki kerosakan mekanikal yang telah sedia ada pada kabel voltan tinggi 132 kilovolt miliknya yang dipasang di dalam terowong di bawah jambatan.

 

Selain ganti rugi RM10.52 juta itu, TNB turut diarahkan membayar faedah sebanyak 5% setahun ke atas jumlah berkenaan, dikira dari tarikh kebakaran pada 22 Februari 2021 sehingga jumlah penghakiman dibayar sepenuhnya, lapor The Edge.

 

Kebakaran rosakkan struktur jambatan dan kabel

Kes itu berpunca daripada kebakaran yang dikesan kira-kira jam 4.20 petang pada 22 Februari 2021 berhampiran KM3.3 atau Pier 52E Jambatan Pulau Pinang.

 

TNB ketika itu mempunyai tiga litar kabel voltan tinggi 132 kilovolt yang melalui sebuah terowong di bawah dek jambatan berkenaan.

 

Kebakaran kedua berlaku pada pagi berikutnya selepas api kembali menyala dengan kejadian itu menyebabkan dua bentuk kerosakan utama.

 

Kerosakan pertama membabitkan rasuk struktur Jambatan Pulau Pinang berhampiran KM3.3 atau Pier 52E yang memerlukan kerja pembaikan segera dan menyeluruh.

 

Kerosakan kedua pula membabitkan kabel elektrik serta struktur kayu yang digunakan untuk menyokong dan menempatkan kabel berkenaan.

 

Bayaran ganti rugi

Jumlah RM10.52 juta yang diberikan kepada PLUS merangkumi RM9.69 juta bagi kerja pembaikan struktur yang dilaksanakan Edgenta Infrastructure Services Sdn Bhd.

 

Ia turut merangkumi RM660,520.80 bagi kerja penilaian struktur, penyiasatan dan reka bentuk kerja pembaikan oleh JK Bersatu Sdn Bhd.

 

Selain itu, RM114,731.22 adalah bagi bayaran penyiasatan punca kejadian kepada Forensic Services (M) Sdn Bhd serta penyiasat dan pakar kebakaran bertauliah, Anand Ghnavello.

 

t

 

Sebanyak RM50,000 lagi adalah kos guaman yang ditanggung dalam prosiding penemuan sebelum tindakan terhadap TNB dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

Mahkamah turut mengarahkan TNB membayar RM400,000 kos guaman kepada PLUS, tertakluk kepada penilaian oleh pendaftar mahkamah.

 

Kerosakan kabel menjadi punca kebakaran

Dalam perbicaraan, pertikaian utama adalah mengenai punca kebakaran dengan kedua-dua pihak mengemukakan teori berbeza berdasarkan keterangan pakar masing-masing.

 

Pakar PLUS, Anand Ghnavello yang merupakan penyiasat kebakaran dan letupan bertauliah daripada Persatuan Penyiasat Kebakaran Kebangsaan Amerika Syarikat, memberi keterangan bahawa kebakaran berkemungkinan bermula akibat percikan elektrik (electrical arcing) pada kabel fasa biru Litar 2.

 

Menurut keterangannya, percikan elektrik itu berpunca daripada kerosakan mekanikal yang telah sedia ada, termasuk kesan potongan yang menembusi sehingga ke lapisan perlindungan air kabel.

 

Haba itu kemudiannya menyebabkan sarung kabel dan struktur kayu di sekelilingnya terbakar dengan pantas.

 

TNB pula mengemukakan pakar kejuruteraan elektrik, Dr Tan Yoke Lin, yang memberi pandangan bahawa puntung rokok yang dibuang mungkin jatuh melalui paip saliran yang pecah dan menyalakan sampah yang terkumpul di lantai terowong.

 

Bagaimanapun, Hakim Ahmad Shahrir menolak pembelaan TNB itu dan mendapati teori tersebut terlalu bersifat andaian kerana memerlukan beberapa kejadian yang dianggap tidak munasabah berlaku secara berturutan.

 

Mahkamah turut menegaskan bahawa pihak yang mengendalikan bekalan elektrik voltan tinggi perlu memenuhi tahap penjagaan keselamatan yang tinggi berdasarkan risiko yang berkaitan dengan operasi tersebut.

 

Hakim Ahmad Shahrir juga mendapati TNB gagal mengemukakan Garis Panduan Penyelenggaraan Aset Grid, rekod ujian penebatan terdahulu serta gambar kerja pembersihan kawasan berkenaan.

 

Selain itu, TNB turut gagal memanggil kontraktor penyelenggaraan untuk memberikan keterangan dalam prosiding tersebut.

 

Mahkamah seterusnya memutuskan bahawa Seksyen 33 Akta Bekalan Elektrik 1990 yang mengawal tatacara selepas kejadian elektrik besar mengenakan kewajipan berkanun yang boleh dikuatkuasakan secara sivil ke atas pemegang lesen bekalan elektrik untuk mematuhi piawaian keselamatan serta amalan utiliti yang berhemat.

 

PLUS diwakili Raja Eileen Soraya Raja Aman, Joshua Chong Wan Ken, Melanie Lim Sheng Ning dan Nicole Koh Sui Fen daripada Tetuan Raja, Darryl & Loh manakala TNB diwakili Barvina Punnusamy dan Nur Sabrina Ahmad Kamal daripada Tetuan Jayadeep Hari & Jamil. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved