Mahkamah arah Ecolectric bayar RM1.17 juta kepada anak syarikat ES Sunlogy

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 9:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah arah Ecolectric bayar RM1.17 juta kepada anak syarikat ES Sunlogy Image from: Mahkamah arah Ecolectric bayar RM1.17 juta kepada anak syarikat ES Sunlogy johardy22/09/2026 - 09:36 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ecolectric Engineering Sdn Bhd membayar RM1.17 juta kepada anak syarikat milik penuh ES Sunlogy Berhad, Savelite Engineering Sdn Bhd berhubung pertikaian subkontrak bagi sebuah projek kediaman di Damansara Heights.

 

Mahkamah pada 17 Ogos 2026 memasukkan penghakiman ingkar pembelaan terhadap Ecolectric selepas syarikat itu gagal memfailkan dan menyerahkan pembelaannya dalam tempoh ditetapkan.

 

ES Sunlogy dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia berkata, mahkamah memerintahkan Ecolectric membayar RM1,234,551.27 kepada Savelite dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

 

Selepas mengambil kira wang `amaun tahanan' (retention sum) sebanyak RM60,223.55 yang dipegang Savelite, jumlah bersih perlu dibayar oleh Ecolectric ialah RM1,174,327.72.

 

Mahkamah turut mengisytiharkan notis penamatan yang dikeluarkan Savelite pada 21 Mei 2025 sebagai sah.

 

Jumlah ganti rugi am akan ditaksir oleh mahkamah secara berasingan, manakala Ecolectric turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM528.

 

Pertikaian subkontrak RM1.65 juta

Pertikaian itu berpunca daripada surat anugerah bertarikh 25 April 2022 yang melantik Ecolectric sebagai subkontraktor untuk membekalkan tenaga kerja bagi pemasangan perkhidmatan elektrik.

 

Kontrak bernilai kira-kira RM1.65 juta itu melibatkan pembangunan 54 unit vila tiga tingkat berserta kemudahan berkaitan di Jalan Teruntung, Damansara Heights.

 

Savelite dilantik oleh kontraktor utama sebagai subkontraktor projek itu, manakala Ecolectric dipertanggungjawabkan untuk membekalkan tenaga kerja bagi pemasangan perkhidmatan elektrik.

 

Menurut tuntutan Savelite, Ecolectric juga dikehendaki menambah tenaga kerja atau jentera apabila diperlukan bagi memenuhi tarikh penyiapan serta bertanggungjawab terhadap mutu kerja yang dilaksanakan.

 

Savelite mendakwa kelewatan menyiapkan kerja berpunca daripada kegagalan atau keengganan Ecolectric menempatkan tenaga kerja yang mencukupi atau berkemahiran di tapak projek.

 

Savelite memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar pembelaan pada 13 Ogos 2026 selepas Ecolectric gagal memfailkan dan menyerahkan pembelaannya dalam tempoh ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

 

Ganti rugi akan ditaksir mahkamah

Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 24 September 2026 bagi penaksiran ganti rugi, manakala pendengaran secara ex-parte untuk prosiding garnisi dijadualkan pada 30 September 2026.

 

ES Sunlogy berkata, litigasi itu tidak dijangka menimbulkan sebarang liabiliti kepada kumpulan atau memberikan kesan kewangan material serta-merta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027.

 

Savelite telah mengiktiraf kerugian rosot nilai penuh sebanyak RM3.17 juta terhadap jumlah yang perlu dibayar oleh Ecolectric bagi projek Damansara Heights dan Jalan Klang Lama.

 

Menurut ES Sunlogy, langkah itu mencerminkan penilaian kumpulan terhadap kemungkinan jumlah berkenaan dapat dikutip semula susulan litigasi melibatkan kedua-dua projek tersebut.

 

Jumlah yang perlu dibayar oleh Ecolectric itu timbul daripada penjualan barangan oleh Savelite kepada syarikat berkenaan bagi kedua-dua projek. Savelite membekalkan barangan itu secara langsung bagi memastikan kualiti produk yang digunakan.

 

ES Sunlogy berkata, peguam yang dilantiknya berpandangan bahawa syarikat mempunyai prospek yang baik berhubung tuntutan dalam writ saman tersebut dan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved