Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pelepasan baharu yang mengarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Foto: Sinar Harian
Memetik laporan Kosmo, Hakim Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda yang dikeluarkan pada 6 November dan menggantikannya dengan perintah baharu. Perintah itu menetapkan Najib menjalani baki hukuman penjara yang telah dikurangkan kepada enam tahun secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
“Yang kedua, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028,” kata Hakim Aslam.
Najib hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding itu. Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib antara yang mewakili pihak pendakwaan, manakala pasukan pembelaan Najib diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan untuk menyemak semula perintah bertarikh 6 November. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata AGC memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah baharu yang selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September.
Pembayaran denda RM50 juta pada 6 November memenuhi antara syarat pengampunan tersebut. Pada hari sama, AGC memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan tentang tafsiran pengampunan bersyarat dan kesan perintah pelepasan asal. Najib kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mensabitkannya atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022.
Sumber: Kosmo (Nuzulsham Shamsuddin)





