
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bersama pihak berkepentingan mengambil masa kira-kira empat jam untuk meninjau semula asrama sekolah agama tempat Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri pada Julai 2025.
Tinjauan atau locus in quo itu dikendalikan Koroner Amir Shah Amir Hassan di sekolah berkenaan pada Isnin membabitkan pasukan pegawai pengendali, barisan peguam ibu Zara, barisan peguam bapanya serta peguam kepada lima kanak-kanak yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berkaitan kejadian itu.
Beberapa saksi yang sudah memberikan keterangan dalam inkues termasuk pelajar, guru dan individu lain, turut menyertai tinjauan berkenaan yang bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir pada jam 2 petang.
Setakat ini kira-kira 80 saksi telah memberikan keterangan dalam prosiding inkues itu termasuk pakar, guru, polis, pelajar dan ibu bapa.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.
Mayatnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pada 20 Ogos 2025 lima kanak-kanak yang diberikan nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara.
Prosiding inkues akan bersambung pada Selasa dengan saudara tiri Zara dijadualkan menjadi saksi ke-81 untuk memberikan keterangan.






