liza18/08/2026 - 15:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos – Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak usaha Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mencabar keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) yang memihak kepada 22 syarikat insurans dalam pertikaian berkaitan diskaun alat ganti dan kadar upah bengkel kenderaan.
Keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizul Azmi Adnan itu mengekalkan keputusan CAT bahawa 22 syarikat insurans berkenaan tidak melanggar Akta Persaingan 2010.
Panel yang juga dianggotai Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters turut mengarahkan MyCC membayar kos berjumlah RM270,000 kepada sembilan firma guaman yang mewakili Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 syarikat insurans berkenaan.
Pertikaian Bermula Dengan Keputusan MyCC
Pertikaian itu tercetus selepas MyCC mendapati perjanjian berkaitan diskaun alat ganti dan kadar upah bengkel di bawah Skim Bengkel Baik Pulih Diluluskan PIAM (PARS) melanggar Akta Persaingan 2010.
PIAM bersama 22 ahlinya yang terdiri daripada syarikat insurans kemudian merayu keputusan tersebut kepada CAT.
Pada 8 September 2022, CAT membenarkan rayuan PIAM dan 22 syarikat insurans berkenaan selepas mendapati mereka tidak melanggar Akta Persaingan 2010.
Keputusan itu bagaimanapun tidak diterima MyCC yang kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan CAT tersebut.
Mahkamah Tegas MyCC Tiada Hak Rayuan
Mahkamah Tinggi pada 2024 menolak permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran meneruskan semakan kehakiman berkenaan, menyebabkan MyCC membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan.
Dalam penghakiman yang dibacakan Evrol, panel itu menolak keempat-empat alasan yang dikemukakan MyCC dan memutuskan bahawa Akta Persaingan 2010 tidak memberikan MyCC hak untuk mencabar keputusan CAT.
Menurut mahkamah, undang-undang berkenaan memberikan hak rayuan kepada pihak yang terjejas oleh sesuatu keputusan, tetapi tidak memberikan hak sama kepada MyCC.
Mahkamah berkata MyCC telah menjalankan fungsi membuat keputusan dalam kes tersebut dan selepas CAT membuat keputusan sebagai badan rayuan, MyCC tidak lagi mempunyai kedudukan untuk mencabar keputusan berkenaan.
Mahkamah turut menolak hujah MyCC yang merujuk kepada kes di India kerana undang-undang Malaysia tidak memberikan MyCC hak untuk mencabar keputusan CAT seperti yang dibenarkan di negara tersebut.
Keputusan CAT Kekal Memihak Syarikat Insurans
Mahkamah menjelaskan bahawa undang-undang India secara jelas memberikan hak rayuan kepada pihak berkuasa persaingannya, sedangkan peruntukan sama tidak terdapat dalam Akta Persaingan 2010 Malaysia.
Mahkamah turut menolak hujah MyCC bahawa keputusan terdahulu dalam kes Malaysia Airlines System (MAS) telah menafikan akses MyCC kepada keadilan, sambil menegaskan bahawa keputusan CAT masih tertakluk kepada bidang kuasa pengawasan Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, mahkamah berkata MyCC tidak boleh mencabar keputusan CAT kerana Parlimen tidak memberikan hak rayuan tersebut di bawah undang-undang sedia ada.
Malah, cadangan pindaan Akta Persaingan 2010 melalui pengenalan Seksyen 58A yang secara khusus memberikan hak rayuan kepada MyCC mengukuhkan pendirian bahawa hak tersebut sememangnya belum wujud di bawah akta semasa.
Dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, rayuan MyCC ditolak dan keputusan CAT yang memihak kepada PIAM serta 22 syarikat insurans kekal berkuat kuasa.
Ini bermakna 22 syarikat insurans berkenaan kekal tidak didapati melanggar Akta Persaingan 2010 dalam isu pemberian diskaun terhadap harga alat ganti dan kadar upah bengkel di bawah PARS. - DagangNews.com






