Mahkamah Rayuan ketepi injunksi, Shell diarah bayar tunggakan hampir RM1 bilion kepada PETRONAS

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2025 • 11:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Rayuan ketepi injunksi, Shell diarah bayar tunggakan hampir RM1 bilion kepada PETRONAS

image is not available

23/09/2025 - 11:12

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept – Mahkamah Rayuan memutuskan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd perlu melunaskan tunggakan bayaran gas kepada PETRONAS selepas mengetepikan perintah injunksi sementara yang diperoleh syarikat itu pada Januari lalu.

Perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu membolehkan Shell MDS menangguhkan bayaran bulanan untuk bekalan gas PETRONAS, susulan wujudnya tuntutan invois bertindih daripada Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Injunksi itu juga menghalang PETRONAS daripada menggunakan cagaran bank untuk menuntut bayaran.

Panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azimah Omar bersama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim sebulat suara memutuskan PETRONAS tidak pernah melanggar perjanjian bekalan gas, kerana terus menyalurkan bekalan ke loji Shell MDS di Bintulu, Sarawak.

Sehubungan itu, Shell MDS diarahkan membayar semua tunggakan kepada PETRONAS dari Ogos 2024 sehingga 5 Okt 2025 dengan bayaran perlu dibuat selewat-lewatnya pada 6 Okt ini.

PETRONAS mendakwa Shell MDS berhutang antara RM70 juta hingga RM80 juta setiap bulan sejak Ogos 2024.

Jumlah keseluruhan tunggakan termasuk faedah dijangka hampir mencecah RM1 bilion.

Hakim Datuk Wong Kian Kheong yang membacakan keputusan sebulat suara, berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi tersilap memberikan injunksi tersebut kerana tiada pelanggaran perjanjian oleh PETRONAS memandangkan syarikat minyak negara itu terus membekalkan gas kepada Shell MDS.

Beliau menegaskan PETRONAS sentiasa bertindak mengikut perjanjian bekalan gas yang ditandatangani dengan Shell MDS dan tiada sebab untuk memberikan perintah injunksi sementara menunggu penyelesaian pertikaian antara PETRONAS dan Petros.

Beliau menegaskan adalah tidak adil sekiranya PETRONAS dipaksa terus membekalkan gas tanpa menerima bayaran.

“Sehubungan itu, kami mengetepikan keputusan 6 Jun lalu dan semua bayaran adalah tertunggak kepada perayu (PETRONAS),” katanya.

Mahkamah turut mengarahkan saman interpleader, iaitu prosiding untuk menentukan pihak sebenar yang berhak ke atas tuntutan sama diselesaikan segera bagi menamatkan pertikaian antara PETRONAS dan Petros.

image is not available

Wong berkata, Shell MDS tidak akan terbeban dengan tuntutan berganda kerana jika PETRONAS didapati bersalah, syarikat itu wajib memulangkan semula bayaran.

Selain itu, Shell MDS diperintah membayar kos RM50,000 kepada PETRONAS, manakala Petros pula diarahkan membayar RM30,000 kepada syarikat minyak negara itu.

Pertikaian itu bermula apabila Shell MDS menerima dua invois setiap bulan, satu daripada PETRONAS dan satu lagi daripada Petros yang masing-masing berjumlah sekitar RM80 juta.

Oleh itu, Shell MDS memohon injunksi untuk menghentikan bayaran bulanan bekalan gas sehingga pertikaian antara PETRONAS dan Petros diselesaikan.

Injunksi itu juga mengarahkan PETRONAS meneruskan bekalan gas kepada Shell MDS.

Shell MDS turut memperoleh injunksi yang menghalang PETRONAS daripada menggunakan jaminan bank bagi bayaran gas tersebut.

Petros dilantik sebagai pengagregat tunggal gas di Sarawak sejak 2024, namun fasiliti paip dan kemudahan gas masih dimiliki dan dikendalikan oleh PETRONAS.

Dalam keputusannya, Arziah berkata Shell MDS berdepan “risiko serta-merta dan ancaman gangguan” terhadap bekalan gasnya, dengan bayaran bulanan dalam lingkungan RM70 juta hingga RM100 juta, berikutan penglibatannya dalam dua perjanjian bekalan gas berasingan.

Perjanjian dengan PETRONAS ditandatangani pada 17 Julai 2020 dan satu lagi dengan Petros (ditandatangani pada 16 Ogos 2024).

Beliau berkata ,Shell MDS telah berusaha mencari jalan tengah dengan menawarkan supaya bayaran diketepikan dalam akaun berfaedah sehingga pertikaian selesai, tetapi PETRONAS tetap membuat tuntutan ke atas jaminan bank.

image is not available

Hujahan PETRONAS

Dalam prosiding pada Isnin, peguam utama PETRONAS, Datuk Dr Cyrus Das berhujah bahawa Mahkamah Tinggi tersilap memberi injunksi kerana PETRONAS tidak pernah menghentikan bekalan.

Katanya, PETRONAS menanggung kerugian besar kerana terus membekalkan gas tanpa menerima bayaran.

“Sebelum pemfailan saman interpleader, PETRONAS tidak memotong bekalan. Adakah terdapat pelanggaran kontrak sedia ada atau hak undang-undang (ke atas Shell) untuk enggan membuat bayaran?” soal beliau.

Beliau berhujah Shell MDS tidak memenuhi ambang syarat di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk menunjukkan pelanggaran obligasi, kerana PETRONAS terus membekalkan gas tetapi kini mengalami kerugian lebih RM80 juta setiap bulan akibat tidak menerima bayaran sejak injunksi tersebut.

Beliau menambah, PETRONAS menanggung kesukaran kerana terus membekalkan gas ke fasiliti Bintulu untuk Shell MDS.

Beliau mendakwa Mahkamah Tinggi “sangat silap” kerana gagal menilai “keseimbangan kesusahan” dalam kes ini.

Rakan guamnya, Khoo Guan Huat pula berkata, Shell MDS sendiri mencipta liabiliti apabila menandatangani perjanjian baharu dengan Petros, walaupun mengetahui gas tetap disalurkan oleh PETRONAS.

Beliau juga menegaskan Petros mengakui tidak mempunyai kapasiti penuh menguruskan fasiliti berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Shell, Christopher Leong pula berhujah injunksi Mahkamah Tinggi adalah wajar kerana kliennya berdepan dua invois yang bercanggah.

Langkah menangguhkan bayaran dibuat untuk mengelakkan risiko dituntut dua kali.

Sementara itu, peguam Petros, Logan Sabapathy dan Foo Joon Liang, yang menentang pembatalan injunksi itu, berhujah terdapat pertikaian berterusan antara Petronas dan Petros yang sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuching.- DagangNews.com

standard