Mahkamah Rayuan tolak permohonan MCBA sekat kempen 'Bank Tipu Kita' dianjurkan NUBE

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 3:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Rayuan tolak permohonan MCBA sekat kempen 'Bank Tipu Kita' dianjurkan NUBE Image from: Mahkamah Rayuan tolak permohonan MCBA sekat kempen 'Bank Tipu Kita' dianjurkan NUBE amree12/11/2026 - 15:40 Ahli-ahli NUBE bergambar selepas meraikan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov — Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) gagal mendapatkan perintah sementara untuk menyekat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) daripada meneruskan aktiviti mereka selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan berkenaan.

 

Lapor FMT, panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Firuz Jaffril bersama Hakim Ismail Brahim dan Dean Wayne Daly memutuskan perintah itu tidak diperlukan memandangkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini sudah memberikan penangguhan pelaksanaan.

 

Firuz berkata, MCBA boleh membangkitkan perkara berkenaan dalam prosiding menghina mahkamah terhadap NUBE dan pegawainya yang masih lagi berjalan. Mahkamah berkenaan turut mengarahkan MCBA supaya membayar kos sebanyak RM30,000 kepada NUBE.

 

Tambah beliau, permohonan MCBA itu bertujuan menghalang NUBE daripada meneruskan kempen 'Bank Tipu Kita', memakai lencana kempen, menggunakan slogan berkaitan menerusi platform media sosial serta menganjurkan jelajah untuk ahli-ahli kesatuan.

 

MCBA turut mahu NUBE dihalang daripada mendapatkan campur tangan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pertikaian bantuan perayaan serta Perjanjian Kolektif (CA) ke-20.

 

Peguam MCBA, Steven Thiru yang dibantu Janice Anne Leo berhujah bahawa aktiviti itu boleh melanggar perintah penangguhan yang diberikan Hakim Mahkamah Tinggi, Norliza Othman, pada bulan lalu. MCBA juga memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap kesatuan dan pegawainya.

 

NUBE Bank Tipu Kita
Foto kredit Astro Awani

 

Peguam NUBE, Tommy Thomas yang dibantu Ravi Nekoo dan M Arvin Kumar berhujah kesatuan itu hanya menggunakan hak sahnya untuk menjalankan aktiviti. Beliau turut menegaskan hakim akan memutuskan kes berdasarkan fakta dan bukti di mahkamah, bukan dipengaruhi aktiviti di luar mahkamah.

 

FMT melaporkan, Mahkamah Rayuan turut mengambil maklum bahawa NUBE sudah pun menggantung segala aktiviti kempennya selepas mengadakan perhimpunan aman dan kemudian menyerahkan memorandum kepada wakil PMO.

 

Pertikaian antara kedua-dua pihak antaranya berkaitan dengan isu tuntutan NUBE supaya bantuan perayaan bersamaan sebulan gaji diberikan kepada ahli yang layak daripada kumpulan berpendapatan B40 dan M40.

 

MCBA membuat pembayaran tersebut pada 2023, tetapi tidak meneruskannya lagi pada 2024 sehingga pertikaian berkenaan dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan oleh Menteri Sumber Manusia ketika itu.

 

NUBE turut mencabar rujukan pertikaian berkaitan CA ke-20 kepada Mahkamah Perusahaan dengan alasan kedua-dua pihak sepatutnya menggunakan mekanisme penyelesaian dalaman seperti diperuntukkan di bawah Artikel 4(5) perjanjian berkenaan.

 

Pada 13 Februari 2026, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman NUBE, membatalkan kedua-dua rujukan pertikaian dan mengarahkan pihak terbabit menyambung rundingan melalui mekanisme yang dipersetujui.

 

MCBA dan menteri berkenaan kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut yang dijadualkan didengar pada 22 Mac 2027. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved