
PUTRAJAYA: Guru tadika, M. Indira Gandhi hari ini gagal dalam rayuannya berhubung saman RM100 juta terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain kerana gagal menangkap bekas suaminya yang melarikan anak perempuan mereka selepas lelaki itu memeluk Islam.
Penghakiman itu dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama-sama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Ketika membaca penghakiman ringkas panel itu, Hakim Faizah menyatakan Indira gagal menunjukkan kesakitan dan penderitaan yang dialami Indira berpunca daripada tindakan bekas suaminya, K. Pathmanathan yang telah memeluk Islam.
Panel terbabit bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak bermaksud pihak polis kebal dan tidak juga bermaksud bahawa mengabaikan perintah serta waran mahkamah yang sah tidak mempunyai akibat dari segi undang-undang.
“Rayuan ini gagal disebabkan satu alasan yang kecil tetapi penting. Hubungan sebab dan akibat yang diperlukan untuk pemberian ganti rugi di bawah undang-undang persendirian tidak berjaya dibuktikan.
“Ia bukan gagal kerana tindakan pihak polis terbukti memuaskan, atau kerana perayu tidak mempunyai kepentingan secara langsung dan peribadi dalam pelaksanaan waran tersebut atau kerana kelewatan dalam melaksanakan sesuatu kewajipan berkanun tidak mempunyai kepentingan di sisi undang-undang.
“Kami juga ingin menjelaskan bahawa tiada apa-apa dalam alasan penghakiman ini harus difahami sebagai memberikan kekebalan kepada pihak polis atau sebagai menunjukkan bahawa kegagalan untuk mematuhi dan melaksanakan perintah serta waran mahkamah yang sah tidak mempunyai akibat dari segi undang-undang,” kata hakim itu.
Hakim Faizah menyatakan, kes ini melangkaui ‘kesedihan peribadi seorang ibu’ dan menyentuh soal kewibawaan mahkamah, kuasa serta keberkesanan keputusan mahkamah, dan tanggungjawab pihak polis untuk menguatkuasakannya.
Beliau juga berkata terdapat kelemahan material dalam pelaksanaan tugas pihak polis dan tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan tersebut.
“Oleh itu, kami tidak dapat bersetuju dengan kesimpulan umum Mahkamah Tinggi bahawa pihak polis telah melaksanakan tugas mereka dengan secukupnya dan sepenuhnya. Keterangan yang dikemukakan adalah lebih lemah daripada apa yang dinilai oleh Mahkamah Tinggi.
“Ia menunjukkan kelewatan yang ketara, ketiadaan rekod kontemporari yang penting, pengetahuan secara langsung yang terhad dalam kalangan saksi utama, serta tindakan-tindakan yang mempunyai nilai pembuktian yang terhad sebagai bukti pelaksanaan waran tersebut. Perkara-perkara ini mewajarkan penilaian semula oleh mahkamah rayuan,” katanya.
Selain itu, Hakim Faizah menyatakan Indira gagal membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Tambahnya, responden bukanlah pihak yang menyebabkan pengambilan anak tersebut dan perpisahan awal antara ibu dan anak.
“Kami tidak meragui hakikat kesakitan, kebimbangan dan perasaan ketidakadilan yang berterusan yang dialami (Indira). Keperluan untuk membuktikan hubungan sebab dan akibat tidak mengurangkan penderitaan tersebut.
“Ia hanya menentukan kerugian yang dari sudut undang-undang boleh dipertanggungjawabkan kepada defendan sebagai akibat daripada suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. Hubungan tersebut tidak berjaya dibuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian,” katanya.
Indira merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman beliau bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador, cuai dalam jawatan awam kerana gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh.
Prasana Diksa dibawa lari Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan pada 2009, tidak lama selepas, beliau memeluk Islam. Remaja itu kini berusia 18 tahun.
Pada Mei 2014, Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh mengeluarkan perintah komital supaya Muhammad Riduan ditahan kerana menghina mahkamah berhubung kegagalan menyerahkan Prasana serta perintah pemulihan untuk polis mencari kanak-kanak itu.
Pada September 2014, Indira memperoleh perintah mandamus di Mahkamah Tinggi yang mengarahkan KPN menguatkuasakan kedua-dua perintah tersebut.
Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan perintah mandamus itu, namun Mahkamah Persekutuan pada April 2016 memulihkan semula perintah tersebut bagi penangkapan Muhammad Riduan. – UTUSAN
The post Mahkamah Rayuan tolak rayuan saman RM100 juta Indira Gandhi appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] Keputusan rayuan ibu Zayn Rayyan 28 September ini](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-19-at-18.25.09-1-1024x758.jpeg)


